SELEPAS melalui episod perpisahan, penyanyi dan pelakon Singapura, Aliff Aziz mengakui hatinya kini tenang melihat bekas isteri, Bella Astillah terus melangkah ke hadapan.
Mengulas mengenai kehangatan tanda pagar #BASS (Bella Astillah Syed Saddiq) yang dikaitkan dengan hubungan rapat antara Bella dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Aliff tidak menyimpan sebarang perasaan negatif.
Bagi Aliff, jika itu adalah kebahagiaan buat mereka, dia reda dan mendoakan yang terbaik untuk kedua-duanya.
Malah pelantun lagu Sayang Sayang itu turut menyifatkan apa yang telah berlaku dalam hidupnya dianggap sebagai perkara yang sudah berlalu, dan kini dia lebih memilih untuk memberi tumpuan kepada dirinya sendiri.
Aliff hanya ingin memastikan kedua anaknya dikelilingi insan yang menyayangi mereka.
Menurut Aliff, hal paling utama yang menjadi fokus ketika ini adalah memastikan kedua anaknya, Ayden Adrean Aliff, 8, dan Ara Adreanna Aliff, 5, dikelilingi dengan insan yang sentiasa menyayangi mereka.
“Ayden dan Ara dikerumuni oleh orang-orang yang sayang mereka, insya-Allah. Itu yang pertama saya fikir. Siapapun disekeliling mereka, asalkan mereka disayangi dan dilayan dengan baik, itu sudah memadai," katanya dalam satu temu bual bersama media di Singapura.
Aliff turut menegaskan dia tidak menyimpan sebarang rasa cemburu sebaliknya bersyukur anak-anaknya berada dalam jagaan yang baik.
ARTIKEL BERKAITAN: Jatuh tapi tak pernah musnah, 2025 tahun kebangkitan Aliff Aziz
ARTIKEL BERKAITAN: Aliff Aziz dan Ruhainies mengaku salah berkhalwat, sudah bayar denda RM3,000
Pada 27 Februari lalu, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan mengesahkan kes khalwat melibatkan Aliff dan aktres Ruhainies telah selesai.
Malah kedua-dua mereka sudah menjelaskan denda berjumlah RM3,000 selepas membuat pengakuan bersalah.
Aliff dan Ruhainies ditangkap berkhalwat pada 9 Mac tahun lalu selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur.
Dalam sebutan pertama kes berkenaan pada Julai tahun lalu mereka mengaku tidak bersalah.
Ketika isu khalwat itu berlaku, Aliff masih merupakan suami kepada Bella.
Pasangan itu kemudian disahkan bercerai talak satu buat kali kedua pada 13 Jun 2024.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Ayden Adrian dan Ara Adreanna.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube