PENYANYI Hafiz Suip mengesahkan dia sudah bercerai talak satu dengan isterinya, Nureffy Jasreel Abdullah di Mahkamah Syariah Shah Alam, Selangor pada 29 Mei lalu.
Hafiz atau Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 35, berkata, buat masa ini dia memberi hak penjagaan kepada bekas isteri kerana menganggap ibu merupakan tempat perlindungan terbaik bagi anak-anak.
"Secara rasmi saya sudah bercerai talak satu dengan isteri pada 29 Mei lalu. Anak-anak dibawah jagaan bekas isteri.
"Secara rasionalnya, sudah tentu kalau saya berada dalam situasi ini, saya akan pilih ibu saya.
Hafiz reda dengan takdir yang sudah tertulis untuknya.
"Saya rasa ibulah merupakan pilihan tepat untuk mengambil penjagaan anak-anak. Kalau kita nak lawan fasal hak ini sampai bila pun tak habis," katanya kepada mStar.
Hafiz berkongsi perkara itu ketika ditemui dalam acara sesi beramah mesra bersama media yang diadakan di Bienz, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada malam Isnin.
Dalam pada itu, Hafiz memberitahu dia masih mengekalkan hubungan baik dengan bekas isteri dalam berbincang urusan anak-anak memandangkan dirinya kini menetap di Kuching, Sarawak.
Jelas Hafiz, dia enggan merumitkan lagi keadaan dan mahu isu penjagaan anak-anak ini diselesaikan dengan baik.
ARTIKEL BERKAITAN: Hafiz Suip mengaku dalam proses bercerai, sedia lepaskan isteri cara baik
ARTIKEL BERKAITAN: Hafiz Suip tak dapat tahan air mata, sedih berjauhan dengan anak-anak… “Saya cuba untuk berdamai, tidak mahu cari salah”
"Tipulah kalau kata saya tak ingat anak, setiap hari saya fikirkan mereka, nak hubungi tetapi mereka juga perlu bersekolah dan ada jadual sendiri.
"Sekarang saya dan bekas isteri masih dalam proses perbincangan tentang urusan anak-anak. Contohnya macam mana saya nak berjumpa dengan mereka sama ada sebulan sekali saya ke Kuala Lumpur.
"Saya tak mahu menimbulkan masalah. Cukuplah turun naik mahkamah untuk urusan perceraian. Penat," ujarnya.
Secara rasmi saya sudah bercerai talak satu dengan isteri . Anak-anak dibawah jagaan bekas isteri.
HAFIZ SUIP
PENYANYI
Penyanyi lagu Awan Nano ini bagaimanapun berkongsi dia tidak menyesal dengan segala kemelut rumah tangga yang dihadapinya.
Jelas Hafiz, dia reda dan menganggap segala ujian yang diterima ini merupakan takdir yang memberi pengalaman serta pengajaran dalam hidup.
"Saya tidak menyesal dengan apa yang berlaku. Semua ini adalah pengajaran dan pengalaman.
Hafiz (kanan) dan bekas isteri masih berbincang berhubung urusan anak-anak.
"Ia juga satu takdir, kita hanya perlu jalani kehidupan seterusnya. Jangan saling menyalahkan kerana hati kita tidak akan rasa tenang.
"Dalam Islam juga ada mengajar kalau nak rasa tenang kita kena berdamai dengan takdir. Nasihat saya kalau nak kahwin, kena fikir masak-masak dan bersikap matang," katanya.
Untuk rekod, Hafiz mendirikan rumah tangga dengan Nureffy pada 14 Mei 2016.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhamamd Alkaf Zayne, 5 tahun.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube