SEORANG wanita dikenali sebagai Siti meluahkan rasa kecewa selepas mengetahui anak perempuannya menjadi mangsa buli di sekolah yang didakwa dilakukan oleh anak kepada seorang penyampai radio terkenal.
Menurut Siti, kejadian tersebut dipercayai bermula sejak Julai tahun lalu dan semakin serius sehingga menjejaskan kesihatan mental dan emosi anaknya.
“Mereka satu sekolah sejak darjah satu, sekarang semua dah masuk darjah enam. Tapi budak itu berlagak diva sebab mak ayah dia artis.
Anak Siti alami tekanan emosi kerana dibuli. - Gambar hiasan AI
“Semuanya bermula apabila sekitar lima orang pelajar termasuk anak penyampai radio itu membentuk satu kumpulan WhatsApp dan mula mengutuk warna kulit anak saya.
“Makin lama makin teruk, sampai satu hari anak saya balik daripada sekolah dalam keadaan meraung dan menangis. Mereka juga ada niat nak pukul anak saya hingga dia alami tekanan emosi,” katanya kepada mStar.
Tambah Siti, sebagai seorang ibu dia tidak mampu berdiam diri apabila melihat perubahan drastik terhadap anaknya yang sebelum ini ceria dan aktif.
Justeru, dia tampil menyerahkan bukti tangkap layar perbualan kepada pihak sekolah untuk tindakan lanjut.
ARTIKEL BERKAITAN: Tudung, baju sekolah digunting sebab berkulit gelap... Pelajar perempuan tahan sabar dihina buruk rupa paras!
ARTIKEL BERKAITAN: Pukul pembuli demi pertahankan diri, balik rumah bapa pula belasah... Akhirnya mangsa buli dibuang sekolah
“Selepas saya dapat tangkap layar sebagai bukti, saya terus pergi ke sekolah dan bertemu guru besar. Masa itu saya memang marah sangat sampai terfikir nak buat laporan polis.
“Budak tu akhirnya mengaku membuli anak saya dan minta maaf. Tapi yang paling menyedihkan rupa-rupanya bukan anak saya seorang yang jadi mangsa. Ramai lagi pelajar lain turut dibuli oleh kumpulan mereka,” jelasnya.
Siti bagaimanapun bersyukur kerana anak perempuannya kini menunjukkan perkembangan positif selepas menerima sokongan moral daripada keluarga dan rakan-rakan sekelas.
Jelas wanita itu, dia kongsikan perkara ini bukan untuk mencari perhatian, sebaliknya mahu budaya buli tidak terus berleluasa pada masa hadapan.
Satu hari anak saya balik dari sekolah dalam keadaan meraung dan menangis.
SITI
IBU MANGSA BULI
“Alhamdulillah, dia semakin pulih. Saya dan suami banyak beri semangat dan dia juga kini dikelilingi kawan-kawan yang lebih positif.
“Setiap kali baca kes buli, saya jadi trauma dan geram. Saya tahu bagaimana perasaan ibu bapa lain yang turut melalui perkara sama.
“Buli bukan perkara remeh, kalau tidak dibendung ia boleh merosakkan masa depan anak-anak,” ujarnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube