suria

“Ada sebab saya tak balik rumah selama sembilan bulan” - Linda Hashim dakwa dipukul sejak 2016, anak-anak alami trauma

Linda berkongsi sebab mengapa tidak mahu pulang ke rumah

PELAKON Linda Hashim akhirnya mendedahkan punca sebenar dirinya tidak pulang ke rumah selama sembilan bulan seperti didakwa suaminya yang juga aktor Beego.

Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 41, berkata keputusan itu dibuat kerana dikatakan bimbang dikasari selain anak-anak turut mengalami trauma akibat insiden tersebut.

“Ada empat sebab kenapa saya tak balik ke rumah selama sembilan bulan. Pertama, saya kena pukul sejak 2016. Kedua, anak-anak saya enggan pulang kerana mereka trauma.

“Ketiga, kunci rumah ada pada dia dan keempat apabila saya balik rumah, dia akan mangga pintu daripada luar. Saya ada saksi yang tolong memotong kunci mangga. Selama ini saya diam, sekarang saya beritahu perkara sebenar,” katanya kepada mStar.

Linda bimbang dikasari oleh suami sekiranya pulang ke rumah.

Linda berkongsi perkara itu selepas selesai mendengar keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Selasa.

Dakwa Linda, dia juga mempunyai laporan polis serta surat perintah larangan mengganggu atau mendekati (OACC) yang menghalang Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, daripada mendekatinya.

“Saya ada laporan polis dan perubatan. Walaupun begitu, atas dasar perikemanusiaan, saya masih benarkan dia berjumpa anak-anak,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Linda mendakwa memberi amaran kepada Beego agar tidak lagi melakukan provokasi terhadap dirinya dan anak-anak.

ARTIKEL BERKAITAN: Beego sertai tabligh, Linda Hashim harap bukan ‘wayang’... Ingatkan tentang nafkah anak-anak

ARTIKEL BERKAITAN: Beego bawa ibu wakil JKP, Linda Hashim buka ‘fail’ baru jika suami enggan cerai

“Jangan ganggu kehidupan kami yang kini lebih tenang. Jangan sebar fitnah dan manipulasi.

“Jangan tambah-tambah cerita dan membuat provokasi sebab saya langsung tak ganggu hidup dia. Baru saya muat naik mengenai anak-anak, dia sudah kata saya nak provoke.

“Belum lagi saya dedahkan bukti-bukti yang banyak dalam telefon saya. Ini amaran saya!” katanya.

Tambah Linda, sejak mereka tidak lagi tinggal sebumbung, dia  tidak pernah sekali pun mengganggu kehidupan Beego.

“Kalau dia nak bekerja atau buat siaran langsung, silakan. Saya tak pernah kacau hidup dia.

“Tapi dia pula yang ganggu saya sampai menjejaskan mental saya dan anak-anak. Jadi, untuk apa saya teruskan perkahwinan ini?” luahnya.

Linda mendakwa dikasari Beego sejak 2016.

Untuk rekod, Linda memfailkan cerai terhadap Beego pada awal Januari lalu dengan alasan tiada persefahaman.

Pasangan itu sebelum ini pernah bercerai talak satu pada 27 Mac 2023 sebelum kembali rujuk pada 9 April 2023.

Linda bagaimanapun mendakwa mereka kemudiannya bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk namun kembali bersama tidak lama selepas itu.

Beego dan Linda mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain