PENYANYI Zehra Zambri meluahkan rasa syukur apabila kemelut rumah tangga dengan Nur Mohd Iqwan Samsudin akhirnya selesai selepas sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bangi pada Rabu.
Menurut Zehra, 38, meskipun keputusan itu cukup berat untuk dibuat, namun dia yakin ini adalah jalan terbaik demi menjaga kesihatan mental diri serta anak mereka, Zahiyah Iqleela yang kini berusia tiga tahun.
“Saya rasa keputusan yang saya buat ini sangat berat. Faktor utama saya perjuangkan perkara ini adalah untuk menjaga mental anak dan diri sendiri.
Zehra dan suami sah bercerai talak satu.
“Sudah cukuplah saya berjuang. Kasih sayang pun dah tak ada, jadi itulah yang menyebabkan saya nekad untuk ambil jalan bersendiri,” katanya kepada mStar.
Berkongsi lanjut, Zehra menegaskan tiada lagi ruang untuk kembali bersama memandangkan konflik antara mereka berlarutan sejak sekian lama.
Malah Zehra mengakui tiada sebarang ucapan maaf atau komunikasi antara mereka di penghujung perkahwinan itu, namun dia tetap memilih untuk berlapang dada dan memaafkan apa yang sudah berlaku.
ARTIKEL BERKAITAN: Zehra Zambri sah bercerai talak satu dengan suami
ARTIKEL BERKAITAN: Bekas suami Zehra Zambri kotakan janji lepaskan talak, tak rancang rujuk kembali… “Saya memang dah tiada hati pada dia”
“Saya memang tak ada sebab nak kembali bersama sebab kami shiqaq (tiada persefahaman) yang berpanjangan. Dia sendiri tahu bagaimana layanan dia terhadap saya. Jadi, saya rasa sudahlah… tutup buku.
“Tiada saling bermaafan mahupun sebarang komunikasi. Tapi Alhamdulillah akhirnya dia beri kerjasama untuk lepaskan saya dengan talak satu hari ini di hadapan hakim.
“Sebagai orang yang pernah hidup bersama, saya maafkan sahaja apa yang telah kami lalui. Sakit itu simpan, jadikan pengajaran untuk hidup akan datang,” jelasnya.
Sementara itu, Zehra turut memaklumkan selepas ini dia akan membuat tuntutan hadanah selain menguruskan isu berkaitan hak tertunggak melalui proses mahkamah.
Anak jadi keutamaan Zehra.
“Fasal anak selepas ini saya akan buat tuntutan hadanah dan sebagainya. Hak mutlak tertunggak semua akan diuruskan kemudian.
“Buat masa sekarang, saya nak lapangkan dada dulu. Satu masalah besar sudah selesai… selebihnya kita uruskan langkah demi langkah,” jelasnya.
Untuk rekod, Zehra dan Mohd Iqwan mendirikan rumah tangga pada 10 November 2021.
Pada 7 Mac lalu, Zehra memfailkan permohonan cerai secara fast track selepas mendakwa berlaku masalah dalam rumah tangga mereka.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!