PELAKON Fattah Amin kekal dengan pendirian tegas dengan tidak akan berdiam diri apabila berdepan tuduhan serta fitnah yang boleh menjejaskan reputasi dan keluarganya.
Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, berkata keputusan mahkamah pada Khamis yang berpihak kepadanya adalah peringatan jelas kepada masyarakat agar lebih berhati-hati ketika menulis atau berkongsi sesuatu di media sosial.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang cuba menjejaskan reputasi saya.
Fattah harap tindakannya jadi pengajaran orang ramai.
“Keputusan mahkamah ini juga boleh dijadikan amaran kepada orang ramai supaya tidak menabur fitnah tanpa bukti,” katanya kepada mStar.
Fattah berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media kempen Nex To Palestin di Masjid Tunku Zainal Abidin, Putrajaya pada Khamis.
Berkongsi lanjut, Fattah memberitahu, langkah undang-undang yang diambil bukan hanya untuk mempertahankan dirinya semata-mata, sebaliknya demi memberi kesedaran kepada orang ramai tentang bahaya penyebaran berita palsu.
“Di zaman media sosial, kita boleh menulis apa sahaja tetapi tanpa bukti, ia tidak baik untuk masyarakat.
ARTIKEL BERKAITAN: Kenyataan berbaur fitnah terhadap Fattah Amin, mahkamah perintah pasangan pempengaruh buang hantaran media sosial
ARTIKEL BERKAITAN: “Kenapa saman aku?” - Elcah dakwa ada video pengakuan
“Lebih-lebih lagi sesama umat Islam, tidak wajar kita menyebarkan fitnah. Kalau ada masalah, boleh berhubung dengan pengurus atau saya sendiri. Jangan terus lempar di media sosial,” ujarnya.
Mengulas mengenai tuntutan saman berjumlah RM5 juta yang difailkan, Fattah enggan memberikan komen lanjut selain menyerahkan perkara tersebut kepada mahkamah.
“Saya tidak boleh ulas tentang jumlah itu, tetapi ia ada sebabnya. Lagipun mahkamah sudah memerintahkan injunksi terhadap pihak terbabit.
Sudah tiba masa untuk ambil tindakan.
FATTAH AMIN
PELAKON
“Saya hanya manusia biasa, tetapi apabila fitnah itu sampai memberi kesan kepada ibu, anak dan juga klien saya, maka kami rasa sudah tiba masa untuk ambil tindakan,” jelasnya.
Pada Khamis, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan pasangan suami isteri yang juga pempengaruh media sosial iaitu Nuraien Adilla Hasha Akhbar atau lebih dikenali sebagai Elcah, 29, dan suaminya, Mohd Hafizzuddin Hamri, 29, menurunkan hantaran di Threads yang didakwa berunsur fitnah terhadap Fattah.
Menurut peguamnya, Mohd Faiz Iskandar Hamzah, permohonan injunksi sementara (ad-interim) difailkan Fattah diluluskan oleh Hakim Datuk Anand Ponnudurai.
Untuk rekod, pada 26 Ogos lalu Fattah memfailkan saman terhadap pasangan tersebut berhubung kenyataan yang diterbitkan di Threads pada 29 Julai dan 22 Ogos 2025.
Fitnah cemarkan nama baik Fattah.
Kenyataan itu mendakwa Fattah berlaku curang ketika masih bergelar suami kepada pelakon Nur Fazura sehingga membawa kepada penceraian mereka.
Fattah dalam tuntutannya juga memohon injunksi bagi menghalang pasangan terbabit daripada terus mengeluarkan sebarang kenyataan fitnah, selain menuntut permohonan maaf tidak bersyarat di semua akaun media sosial milik mereka.
Pelakon itu turut menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk serta ganti rugi teladan berjumlah RM5 juta.