suria

Kenyataan berbaur fitnah terhadap Fattah Amin, mahkamah perintah pasangan pempengaruh buang hantaran media sosial

Fattah menunut permohonan maaf tidak bersyarat secara bertulis

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan pasangan suami isteri yang juga pempengaruh agar menurunkan hantaran berkenaan dakwaan fitnah terhadap pelakon Fattah Amin.

Perintah tersebut dibuat kepada Nuraien Adilla Hasha Akhbar, atau lebih mesra disapa Elcah, 29, dan suaminya Mohd Hafizzuddin Hamri, 29, dipercayai hantaran berunsur fitnah  berhubung penceraian aktor berkenaan bersama bekas isterinya, Nur Fazura. 

Menurut peguam yang mewakili Fattah iaitu Mohd Faiz Iskandar Hamzah, permohonan injuksi (menghalang) ad-interim (sementara) oleh Fattah diluluskan oleh Hakim Datuk Anand Ponnudurai pada Khamis.

Mahkamah luluskan permohonan Fattah.

"Hari ini ditetapkan untuk pendengaran injunksi secara ex-parte (sebelah pihak) yang difailkan plaintif (Fattah) terhadap kedua-dua defendan. 

"Mahkamah membenarkan permohonan ex-parte dan memberikan perintah injunksi ad-interim untuk defendan menurunkan semua hantaran di media sosial.

"Mahkamah membenarkan permohonan ex-parte dan memberikan perintah ad-interim untuk defendan-defendan menurunkan semua hantaran berkenaan sama ada melalui dirinya sendiri atau wakilnya adalah dihalang untuk menerbitkan apa-apa kenyataan berkenaan dengan plaintif, khususnya berkenaan dengan dakwaan kononnya plaintif berlaku curang," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Ada yang tak puas hati kenapa hanya Hong Kong”… Fattah Amin kongsi momen ‘clingy’ Fatima, rancang bawa ke Paris!

ARTIKEL BERKAITAN: Fattah Amin tunai janji, bawa Fatima bercuti ke Disneyland

Pada 26 Ogos lalu, Fattah, 35, atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin memfailkan tuntutan saman mendakwa pasangan suami isteri itu kerana menerbitkan kenyataan fitnah di akaun Threads mereka pada 29 Julai dan 22 Ogos 2025.

Kata Fattah kenyataan yang dibuat suami isteri itu  diterbit, ditonton, dikongsi dan disebarkan dengan meluas kepada pihak ketiga termasuk beberapa portal hiburan sekali gus mengudang reaksi negatif masyarakat terhadap dirinya.

Kenyataan yang ditulis menyebut Fattah selaku plaintif berlaku curang semasa perkahwinannya apabila didakwa mempunyai hubungan dengan seorang wanita sehingga berlakunya penceraian.

"Defendan-defendan secara bersama menerbitkan kenyataan fitnah tanpa mendapatkan pengesahan daripada saya. Mereka berbuat demikian dengan tujuan utama untuk mencemar nama baik, menjatuhkan reputasi, memalukan saya di mata masyarakat umum serta dalam bidang profesional saya.

Fattah alami gangguan emosi dengan dakwan tersebut.

"Akibat daripada tindakan mereka, saya mengalami gangguan emosi, penghinaan serta pengaiban secara umum (public humiliation) selain ia telah mencemarkan nama baik saya," ujarnya dalam satu temu bual sebelum ini. 

Susulan itu, Fattah memohon injuksi untuk menghalang defendan-defendan atau ejennya mengeluarkan, menerbit atau menyebarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap plaintif.

Dia juga menuntut permohonan maaf tidak bersyarat secara bertulis atas terma-terma yang dipersetujui oleh plaintif di akaun Threads defendan dan mana-mana akaun media sosial di kawalan mereka.

Fattah juga menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan berjumlah RM5 juta.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain