PELAKON dan pengacara Raja Azura memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah tiga anaknya daripada bekas suami, Adzmin Osman.
Menurut Raja Azura atau Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 53, bekas suaminya itu didakwa culas membayar nafkah mengikut perintah mahkamah sejak 15 tahun lalu.
Katanya, dia tiada niat untuk mencari perbalahan sebaliknya hanya ingin memastikan anak-anak mendapat hak yang sudah lama dilupakan.
Anak-anak jadi kekuatan buat Raja Azura.
"Ini kali pertama saya melangkah kaki masuk ke alam mahkamah. Saya failkan tuntutan ini bukan untuk bergaduh tetapi mahu dapatkan hak anak-anak saya.
“Mereka pun sudah cukup dewasa dan kuat untuk melihat saya melalui perkara sebegini," katanya kepada sebuah portal.
Menurutnya, dia mendapat kekuatan daripada tiga anaknya yang menyokong penuh dengan tindakan tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Tugas sebagai ibu belum selesai, Raja Azura bimbang anak-anak tersalah langkah
ARTIKEL BERKAITAN: Penyampai radio ‘tangkap muat’, Raja Azura anggap itu rezeki tapi tetap kena ada ilmu
Malah sejak bercerai dia juga tidak pernah bertemu atau berkomunikasi dengan bekas suami.
“Ini adalah juga atas permintaan anak-anak dan saya berjuang untuk mereka. Kalau boleh saya tak mahu cari salah sesiapa tetapi hanya mahu dapatkan hak seperti yang sudah termaktub dalam lafaz taklik.
“Saya pun tak mahu bergaduh dengan bekas suami dan kalau boleh selesaikan secara baik. Kalau dia dapat munculkan diri pun sudah syukur. Sekurang-kurangnya ini usaha saya untuk anak-anak,” luahnya.
Ini adalah juga atas permintaan anak-anak.
RAJA AZURA
PELAKON/PENGACARA
Sementara itu, peguam yang mewakilinya, Mohammad Amirul Hanizan, berkata anak guamnya nekad memfailkan permohonan tersebut mengikut semua perintah mahkamah yang sudah dipersetujui selepas bercerai pada tahun 2010.
Katanya, mereka masih menunggu maklum balas daripada mahkamah untuk tarikh prosiding seterusnya.
“Susulan perintah yang dikeluarkan mahkamah pada tahun 2010 tidak dilaksanakan pihak defendan, maka kami failkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran pelaksanaan penghakiman supaya semua perintah itu dilaksanakan pihak bekas suami.
Raja Azura bertegas dengan tindakannya.
“Perintah-perintah itu kebanyakannya berkaitan tentang nafkah terhadap tiga anak mereka namun amaun tuntutan tidak boleh saya dedahkan,” katanya.
Untuk rekod, Raja Azura dan Adzmin Osman mendirikan rumah tangga pada 2001 dan bercerai pada 28 September 2010.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang anak hasil perkahwinan mereka Megat Muhammad Raziq Adzmin, 23, Megat Luqman Hakim Adzmin, 22, dan Puteri Mia Maizura Adzmin kini berusia 20 tahun.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube