suria

Gagal capai persetujuan bayaran hutang lebih RM1 juta punca lelongan harta Vida diteruskan

Dianggarkan lebih 727 barangan milik Vida bakal dilelong.

TIADA sebarang penyelesaian pembayaran dibuat menjadi punca dianggarkan lebih daripada 727 barangan milik usahawan sensasi Datuk Seri Vida bakal dilelong pada 30 Oktober ini. 

Perkara itu disahkan oleh wakil subkontraktor AH Design Communication, Mohammad Taufik Kamarul yang memberitahu pihaknya tidak dapat menerima tawaran bayaran dikemukakan oleh usahawan berkenaan. 

Dakwa Taufik, kiraan bayaran yang ditawarkan terlalu rendah dan tidak setimpal dengan jumlah sebenar yang masih tertunggak kepada syarikatnya.

"Sebelum ini memang dia (Vida) ada menghubungi saya beberapa kali dan saya ada bertemu dengannya sekali untuk berbincang tentang hal ini. 

Tiada kata sepakat dapat dibuat menjadi punca acara lelongan harta diteruskan.

Tiada kata sepakat dapat dibuat menjadi punca acara lelongan harta diteruskan.

"Tapi tawaran penyelesaian diberikan Vida tidak sesuai dengan jumlah yang perlu dibayar. Jauh sangat  dan tak sesuai," katanya ketika dihubungi mStar pada Rabu.

Dalam pada itu, Taufik memberitahu satu pertemuan antara peguam Vida dan pihak mereka dijadualkan berlangsung pada Khamis, namun tujuan sebenar perjumpaan itu masih belum diketahui.

"Cuma menurut peguam saya, esok (Khamis) akan ada satu perjumpaan dengan wakil peguam Vida dan saya tak pasti dia datang atau tidak. 

"Tujuan pertemuan itu pun saya tidak pasti lagi. Tapi kalau esok bukan mengenai tujuan pembayaran, lelongan tetap akan diteruskan pada 30 Oktober ini," ujarnya. 

ARTIKEL BERKAITAN: Orang ramai boleh serbu rumah Vida, acara lelong harta diadakan 30 Oktober ini

ARTIKEL BERKAITAN: Inilah senarai penuh 727 barangan milik Vida disita untuk tujuan lelong

Mengulas lanjut, Taufik mendedahkan punca acara lelongan ini memakan masa selama setahun disebabkan Vida pernah meminta agar proses lelongan ditangguhkan dengan alasan barangan yang disita adalah barangan pinjaman.

Namun, mahkamah memutuskan sebaliknya selepas pihak Vida gagal mengemukakan bukti kukuh.

"Sebelum ini dia (Vida) minta tempoh tunda sebab katanya barang-barang yang disita itu dipinjam. Namun selepas melalui proses mahkamah untuk menentukan sama ada betul atau tidak, terbukti dia kalah kerana gagal membuktikan ia barangan pinjam. 

Muhammad Taufik sebagai wakil syarikat AH Design Communication.

Taufik sebagai wakil syarikat AH Design Communication.

"Itu yang melambatkan proses lelongan ini. Jadi bila semua proses sudah selesai, memang mahkamah putuskan untuk dilelong jika tidak ada penyelesaian. 

"Maknanya pada 30 Oktober ini, jika masih tiada penyelesaian memang barangan milik Vida itu akan dilelong," katanya. 

Pada Rabu, proses lelongan milik Vida dilaporkan bakal diadakan di kediamannya di Meru Heights, Ipoh, Perak pada 30 Oktober ini selepas hampir setahun tertangguh.

Menerusi notis perisytiharan jualan lelong yang disiarkan dalam ruangan iklan akhbar The Star pada Rabu, jualan lelong itu dilakukan oleh pemiutang, AH Design Communication Sdn Bhd terhadap Vida.

Notis perisytiharan jualan lelong yang disiarkan dalam ruangan iklan akhbar The Star.

Notis perisytiharan jualan lelong yang disiarkan dalam ruangan iklan akhbar The Star.

Untuk rekod, pada 25 November tahun lalu, dianggarkan 727 barangan milik Vida disita dalam proses yang berlangsung selama lima jam di banglo tiga tingkat milik usahawan berkenaan di Meru Heights, Ipoh, Perak. 

Ia selepas Vida gagal menjelaskan bayaran baki tunggakan kepada syarikat kontraktor pembinaan AH Design Communication sebanyak RM1,060,285 pada tahun 2018.

Selain empat buah kereta milik Vida, antara barang yang disita termasuk pembakar roti jenama Sharp, penapis air Coway, meja solek, karpet, kerusi game, meja kopi, bantal dan peti ais. 

Acara lelong yang sepatutnya diadakan pada 9 Disember, bagaimanapun ditangguhkan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Vida menangguhkan proses itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain