suria

[V] Rupanya sudah dua kali Nubhan lafaz cerai, pernah rujuk selepas talak pertama pada 2017

PENYANYI dan usahawan, Nubhan didakwa pernah melafazkan cerai terhadap isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek pada 2017 namun dikatakan kembali rujuk dalam tempoh idah.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam syarie yang mewakili Dr Afifah, Datuk Akberdin Abdul Kadir, sebelum prosiding pengesahan lafaz cerai pasangan itu yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, pada Rabu.

“Hari ini sebutan pertama bagi permohonan plaintif iaitu suami kepada anak guam saya untuk pengesahan dua lafaz cerai dan satu rujuk.

“Rupanya pada tahun 2017 mereka pernah lafaz sekali, kemudian rujuk dalam tempoh idah tetapi tidak didaftarkan secara rasmi dan rujuk itu juga tidak mengikut prosedur,” katanya kepada mStar.

Akberdin ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada Khamis.

Akberdin ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada Khamis

Menurut Akberdin, permohonan yang difailkan kali ini adalah bagi membolehkan mahkamah menentukan kesahihan lafaz cerai dan rujuk berkenaan.

Tambahnya, mahkamah juga akan meneliti beberapa faktor penting termasuk niat sebenar suami ketika melafazkan cerai tersebut.

“Permohonan hari ini difailkan untuk kedua-dua talak tersebut dan hakim akan putuskan sama ada akan dengar kedua-duanya sekali bersama dengan rujuk.

“Mahkamah akan fokus pada aspek sama ada lafaz dibuat dengan niat yang waras, tanpa paksaan atau ugutan.

ARTIKEL BERKAITAN: Nubhan ceraikan isteri, dakwa lafaz talak Ogos lalu

ARTIKEL BERKAITAN: Orang ketiga bukan punca cerai, Nubhan belum sedia beri kenyataan

“Sekiranya disahkan, maka ia akan dikira talak dua. Selepas itu, kes akan diteruskan dengan isu berkaitan anak, nafkah dan harta sepencarian,” jelasnya.

Sementara itu, Akberdin mendedahkan Nubhan sebelum ini pernah membuat tawaran kepada anak guamnya untuk menyelesaikan hal rumah tangga mereka secara baik sebelum bercerai, namun perkara itu tidak diteruskan.

“Tawaran perceraian memang ada. Dia (Nubhan) pernah hantar surat kepada anak guam saya sebelum mereka bercerai.

“Kita juga ada memberikan jawapan balas, tapi perkara itu tidak diteruskan dan senyap begitu sahaja. Itu berlaku sekitar bulan Ogos lalu,” ujarnya.

Sebelum ini, Akberdin memaklumkan pihak Nubhan telah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah sekitar Ogos lalu.

Nubhan telah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah sekitar Ogos lalu.

Katanya, perceraian itu berlaku secara baik tanpa sebarang konflik besar, sebaliknya berpunca daripada perselisihan faham dalam rumah tangga.

Difahamkan, sejak kejadian itu pasangan berkenaan tidak lagi tinggal sebumbung.

Untuk rekod, Nubhan dan Dr Afifah yang juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.

Hasil perkongsian hidup selama 10 tahun, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille yang kini berusia tiga tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain