suria

Isteri Nubhan pernah diceraikan ketika hamil enam bulan, masih sayang keluarga walau lafaz talak kali kedua

Dr Afifah (kanan) mendedahkan dia pernah diceraikan ketika sedang mengandung anak pertama.

ISTERI kepada penyanyi dan usahawan, Nubhan iaitu Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek mendedahkan dia pernah diceraikan ketika sedang mengandung anak pertama. 

Menurut Dr Afifah, 36, lafaz cerai pertama itu berlaku pada tahun 2017 ketika kandungannya baru berusia enam bulan, namun pasangan itu kembali rujuk dalam tempoh idah.

“Saya diceraikan kali pertama ketika hamil anak sulung. Waktu itu usia kandungan enam bulan.

Nubhan sebelum ini didakwa menceraikan isteri di dalam kereta.

“Kadang-kadang rumah tangga ini ada pasang surut, tapi saya masih sayangkan keluarga saya,” katanya kepada mStar.

Dr Afifah berkongsi perkara itu selepas selesai prosiding kes pengesahan lafaz cerai antara dirinya dan Nubhan di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor pada Khamis.

Dr Afifah berkata, keretakan rumah tangga mereka berpunca daripada salah faham, bukan disebabkan sebarang konflik besar seperti yang diperkatakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Nubhan ada rumah di Dengkil tanpa pengetahuan isteri, kes cerai tangguh ke 2 Disember

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Rupanya sudah dua kali Nubhan lafaz cerai, pernah rujuk selepas talak pertama pada 2017

“Saya rasa ia cuma salah faham antara kami. Tiada pergaduhan besar pun,” ujarnya.

Dr Afifah yang diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kadir turut memohon agar mahkamah mengesahkan terlebih dahulu lafaz cerai dan rujuk pada tahun 2017, sebelum prosiding berkaitan lafaz talak kedua yang didakwa berlaku pada 26 Ogos lalu diteruskan.

Pada prosiding berkenaan, Hakim Syarie Tuan Muhamad Nazri Basrawi menetapkan 2 Disember depan sebagai tarikh perbicaraan kes pengesahan lafaz cerai berkenaan.

Dalam prosiding itu, Nubhan selaku plaintif diwakili peguam syarie Mohd Redzuan Ramli, manakala Dr Afifah diwakili Datuk Akberdin Abdul Kadir.

Nubhan (kiri) dan Dr Afifah bernikah pada 29 Ogos 2015.

Sebelum ini, Akberdin memaklumkan Nubhan memfailkan pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah yang didakwa berlaku dalam sebuah kereta pada 26 Ogos lalu.

Difahamkan, sejak kejadian itu pasangan berkenaan tidak lagi tinggal sebumbung.

Untuk rekod, Nubhan dan Dr Afifah mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain