suria

Nubhan ada rumah di Dengkil tanpa pengetahuan isteri, kes cerai tangguh ke 2 Disember

Kes cerai Nubhan (kiri) dan isteri tangguh ke 2 Disember depan.

KES pengesahan lafaz cerai antara penyanyi Nubhan dengan isterinya Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor ditangguhkan ke 2 Disember depan.

Perkara itu diputuskan oleh Hakim Syarie Tuan Muhamad Nazri Basrawi selepas mendengar keterangan daripada kedua-dua pihak serta peguam yang mewakili mereka dalam prosiding yang berlangsung pada Khamis.

Prosiding berkenaan antara lain membincangkan permohonan yang dikemukakan oleh pihak defendan, Dr Afifah yang diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kadir, bagi mengesahkan terlebih dahulu lafaz cerai kali pertama yang berlaku lapan tahun lalu serta proses rujuk selepas itu.

Permohonan itu perlu diselesaikan sebelum mahkamah mendengar kes pengesahan lafaz talak kedua yang didakwa berlaku pada 26 Ogos lalu.

Nubhan sebelum ini pernah melafazkan cerai terhadap isteri.

Selain itu, prosiding pada Khamis turut menjelaskan persoalan mengapa kes tersebut difailkan di Mahkamah Syariah Sepang dan bukan di Seremban yang merupakan lokasi kediaman pasangan berkenaan.

Menurut keterangan di mahkamah, Nubhan mempunyai sebuah rumah di Southville, Dengkil, Selangor yang terletak dalam mukim Sepang, sekali gus memberi bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah Sepang untuk mendengar kes berkenaan.

Bagaimanapun, difahamkan Dr Afifah tidak mengetahui tentang kewujudan rumah tersebut kerana menyangka ia merupakan rumah milik sepupu suaminya. 

Malah, Dr Afifah juga mengesahkan tidak pernah menjejakkan kaki ke kediaman itu sepanjang tempoh perkahwinan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Rupanya sudah dua kali Nubhan lafaz cerai, pernah rujuk selepas talak pertama pada 2017

ARTIKEL BERKAITAN: Orang ketiga bukan punca cerai, Nubhan belum sedia beri kenyataan

Isu berhubung perkara itu bagaimanapun telah diselesaikan dalam prosiding sama. 

Dalam prosiding tersebut, Nubhan selaku plaintif diwakili oleh peguam syarie Mohd Redzuan Ramli.

Pada pagi Khamis, Akberdin memaklumkan Nubhan pernah melafazkan cerai terhadap isterinya pada tahun 2017, namun pasangan itu kembali rujuk dalam tempoh idah.

Sebelum ini, Akberdin juga memberitahu pihak plaintif telah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai yang berlaku di luar mahkamah, iaitu dalam sebuah kereta pada 26 Ogos lalu.

Menurutnya, perceraian berkenaan berlaku secara baik tanpa sebarang konflik besar, sebaliknya berpunca daripada perselisihan faham kecil dalam rumah tangga.

Dr Afifah (kanan) tidak mengetahui tentang kewujudan kediaman milik Nubhan di Dengkil.

Difahamkan sejak kejadian itu, pasangan berkenaan tidak lagi tinggal sebumbung.

Terdahulu, Akberdin juga mendedahkan pihaknya pernah menerima surat daripada pihak isteri berhubung perbincangan mengenai hak-hak selepas perceraian, namun ia tidak diteruskan selepas kedua-dua pihak memilih untuk berdiam diri.

Untuk rekod, Nubhan dan Dr Afifah yang juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.

Hasil perkongsian hidup selama 10 tahun, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain