ISTERI kepada penyanyi Nubhan, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek menceritakan semula detik diceraikan suami buat kali kedua yang berlaku pada 26 Ogos lalu.
Afifah berkata, insiden itu berlaku secara tiba-tiba selepas mereka keluar makan malam bersama.
"Pada malam itu dia datang ambil saya di rumah, kami makan malam dan berbual seperti biasa.

Dr Afifah reda dengan ujian yang berlaku.
“Tapi dalam perjalanan balik rumah, suami lafazkan cerai. Saya terkejut dan tak sangka akan berlaku lagi perceraian. Saya tak tahu kenapa, mungkin wujud salah faham,” katanya ketika ditemui usai prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor pada Khamis.
Reda dengan ujian yang berlaku, Dr Afifah bagaimanapun menyerahkan kes perceraiannya kepada pihak mahkamah untuk menentukan hala tuju rumah tangga mereka.
Dalam masa sama, wanita itu enggan mengulas lanjut berhubung isu nafkah anak-anak dan berharap agar semua pihak memberi ruang supaya proses perbicaraan dapat berjalan dengan tenang.
ARTIKEL BERKAITAN: Nubhan ada rumah di Dengkil tanpa pengetahuan isteri, kes cerai tangguh ke 2 Disember
ARTIKEL BERKAITAN: Tidak wujud orang ketiga punca cerai, Nubhan mengaku banyak hati perlu dijaga
Ditanya mengenai hubungan dengan ibu mentua atau dikenali sebagai Mak Jenny, Afifah berkata, dia baru bertemu wanita terbabit semalam.
“Mak mentua tahu (nak cerai), semalam saya ada jumpa tapi sebelum ini kami tak berhubung secara langsung,” katanya.
Sebelum ini, peguam syarie yang mewakili Afifah iaitu Datuk Akberdin Abdul Kadir memaklumkan Nubhan memfailkan pengesahan lafaz cerai yang berlaku di luar mahkamah pada 26 Ogos lalu.

Nubhan didakwa menceraikan isteri secara tiba-tiba.
Lebih mengejutkan pasangan ini juga pernah bercerai pada 2017 dan kembali rujuk dalam tempoh idah. Bagaimanapun tiada pengesahan lafaz cerai dibuat ketika itu.
Justeru Akberdin memohon mahkamah mengesahkan dahulu lafaz cerai kali pertama lapan tahun lalu serta rujuk, sebelum prosiding pengesahan talak kedua pada 26 Ogos lalu disebut.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr Afifah mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3 tahun.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


