MAHKAMAH Sesyen Putrajaya membenarkan saksi berkaitan kes amang seksual membabitkan penyanyi dan pelakon, Naim Daniel untuk memberikan keterangan menerusi pautan video pada tarikh perbicaraan yang akan ditetapkan.
Peguam mewakili Naim, Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique memaklumkan keputusan itu dibuat selepas hujahan kedua-dua pihak didengar pada prosiding Jumaat.
“Mahkamah membenarkan mangsa dalam kes ini untuk memberi keterangan secara video pada tarikh perbicaraan nanti,” katanya ketika ditemui media.

Permohonan mangsa kes Naim Daniel mahu dibicarakan secara dalam talian dibenarkan mahkamah.
Naim turut diwakili oleh dua lagi peguam iaitu Mohd Irwan Sumadi dan Datuk Amirul Ridzuan Hanif.
Menurut Mohd Irwan, pihak pembelaan masih belum dimaklumkan mengenai giliran saksi memberi keterangan.
“Tarikh perbicaraan kekal pada 15, 16 dan 18 Disember. Siapa beri keterangan dahulu bergantung kepada pihak pendakwaan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Naim menjelaskan kerjayanya masih berjalan seperti biasa walaupun kes sedang dibicarakan di mahkamah.
ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa minta dibicarakan melalui pautan video, Naim Daniel buat permohonan bantahan
ARTIKEL BERKAITAN: Naim Daniel akui hilang tawaran kerja… “Setiap ujian hadir untuk mendewasakan saya”
“Saya tetap komited dan akan beri kerjasama penuh sepanjang proses perbicaraan ini,” katanya.
Sebelum ini, Naim atau nama penuhnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.
Kes didakwa berlaku pada 19 Mei lalu sekitar jam 8.56 malam di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor.
Jika sabit kesalahan, Naim berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


