suria

[V] Hilang sabar, tiada persefahaman punca Uqasha Senrose fail cerai terhadap Kamal Adli… “Jangan tidak hadir begini, saya pun ada kerja”

SUDAH hilang sabar dengan pergolakan rumah tangga menjadi punca pelakon Uqasha Senrose nekad memfailkan perceraian terhadap suaminya yang juga pelakon Kamal Adli pada 1 Oktober lalu. 

Peguam yang mewakili Uqasha iaitu Nurfarhana Abd Manaf berkata, anak guamnya sudah tiada persefahaman dan tidak mampu untuk mempertahankan rumah tangganya. 

“Perkara itu saya tidak boleh komen kerana akan dibicarakan menerusi prosiding di hadapan hakim. 

“Apa yang boleh kami katakan, Uqasha sudah tidak boleh bersabar dan tiada persefahaman. Itu sahaja. 

Uqasha (kanan) mendedahkan tiada lagi persefahaman dengan suami.

“Tapi kalau kata selepas ini ada jodoh, Alhamdulillah. Ini sahaja jawapan Uqasha,” katanya kepada mStar.

Perkara itu dikongsikan Farhana ketika ditemui selepas tamat prosiding pertama di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada pagi Rabu.

Tidak hanya itu, Farhana difahamkan Kamal tidak menunjukkan usaha memujuk Uqasha sepanjang krisis rumah tangga antara mereka. 

“Apa yang dimaklumkan Uqasha, tiada pujukan. Saya tak pasti kalau sebaliknya,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Uqasha Senrose fail cerai, prosiding sebutan pertama ditetapkan hari ini

ARTIKEL BERKAITAN: Tak nampak kelibat Kamal Adli, Uqasha Senrose tiba di mahkamah jam 9 pagi

Sementara itu, Uqasha atau atau Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, ketika ditemui media hanya menggelengkan kepala seakan-akan bersetuju dengan perkara tersebut.

Dalam masa sama, Uqasha meminta agar suaminya hadir memberi kerjasama sepanjang prosiding perceraian mereka.

Malah dia berharap Kamal atau Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, menghormati pihak mahkamah dan semua yang terlibat bagi memudahkan proses perundangan.


“Saya cuma harap dia (Kamal) beri kerjasama.

“Jangan buat tidak hadir begini, saya pun ada kerja saya,” katanya.

Dalam pada itu, mahkamah menetapkan 28 Oktober ini bagi prosiding kedua perceraian pasangan itu. 

Sebelum ini Uqasha dilaporkan memfailkan perceraian terhadap suaminya pada 1 Oktober lalu.

Uqasha mohon Kamal (kiri) beri kerjasama dalam urusan penceraian mereka.

Terdahulu rumah tangga Kamal dan Uqasha menjadi bualan ramai susulan mereka sudah tidak saling mengikuti di Instagram.

Malah netizen juga mendakwa Uqasha mula memberi pelbagai bayangan mengenai kemelut rumah tangga mereka.

Untuk rekod, Uqasha mendirikan rumah tangga dengan Kamal pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang. 

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Hawra Uqaira yang kini berusia 18 bulan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Zaiton Sameon bukan peserta GV12