PROSIDING perceraian pasangan selebriti, Beego dan Linda Hashim di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan terpaksa ditangguhkan selepas tiada pemfailan pengesahan taklik dibuat seperti diminta oleh mahkamah.
Peguam yang mewakili Beego, Muhammad Akmal Amzan, berkata mahkamah menetapkan 16 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Menurutnya, prosiding tidak dapat diteruskan kerana pengesahan taklik perlu difailkan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan mengenai perceraian boleh dibuat.
“Pada prosiding sebelum ini pihak sana (Linda) ada mengatakan Beego pernah melafazkan taklik. Jadi, mahkamah minta pihak sana untuk failkan taklik terlebih dahulu. Cerai tak boleh berjalan selagi taklik yang lepas tak disahkan.

Beego (kiri) diwakili peguam Aszerul Nizam.
“Selepas hampir dua bulan kes ini berjalan, kami difahamkan masih belum difailkan lagi. Jadi, kes tak boleh berjalan, terpaksa ditangguhkan lagi sekali untuk berikan ruang kepada pihak sana failkan taklik.
“Selagi mana taklik tak disahkan sama ada jatuh atau tidak, cerai tak boleh diteruskan,” katanya kepada mStar.
Sementara itu, Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah berkata, dia sudah menjangkakan pihak bekas isterinya akan menggunakan isu taklik sebagai hujah di mahkamah.
Namun, menurutnya perjanjian itu tidak lagi relevan kerana Linda sudah meninggalkan rumah mereka.
ARTIKEL BERKAITAN: “Kenapa daddy expose sekarang?” – Anak sulung ‘sound’ Beego muat naik video lama ketika tidak bertudung
ARTIKEL BERKAITAN: Keluar makan bersama hanya ikut permintaan, Linda Hashim tak halang Beego jumpa anak
"Untuk taklik itu sebenarnya, pernah satu waktu saya diminta untuk buat satu lafaz taklik. Di mana sekiranya saya melanggar perjanjian-perjanjian itu, maka gugurlah.
"Jadi, saya buat taklik itu tapi saya dah tahu mungkin ia akan digunakan dalam mahkamah. Saya buat taklik yang 'selamat', saya cakap, kalau kamu balik semula jadi isteri taat, baik, setia, taklik itu bermula di situ.
"Jadi, dia tak balik setahun dan benda itu tak sah. Jadi, lafaznya hanya lafaz biasa," katanya.
Peguam yang mewakili Linda, Nurul Fadzilah Kamaluddin, memaklumkan bahawa pemfailan pengesahan taklik terpaksa ditunda kerana anak guamnya menghadapi masalah kesihatan melibatkan anak.
Linda, 41, bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah atas sebab tersebut.
"Sepatutnya, kita failkan proses taklik. Tapi, sebab anak guam saya minta tangguhkan kerana anaknya tak sihat.
"Pada masa sama kita minta dari peguam sana untuk cerai cara baik atau failkan secara baik. Insya-Allah, nampaknya ada sedikit sinar,” katanya.
Sebelum ini rumah tangga pasangan selebriti pasangan itu menemui jalan buntu apabila proses laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang tidak mencapai persetujuan.
Ia berikutan laporan JKP yang ditulis oleh pegawai terdapat taklik yang dilanggar.
Susulan itu hakim meminta peguam yang mewakili Linda membuka fail baharu berkaitan pengesahan taklik selepas terdapat laporan mengenai perkara itu.

Sebutan kes penceraian Beego pada 16 Disember depan.
Untuk rekod, Linda memfailkan cerai terhadap Beego pada awal Januari lalu dengan alasan tiada persefahaman.
Pasangan itu sebelum ini pernah bercerai talak satu pada 27 Mac 2023 sebelum kembali rujuk pada 9 April 2023.
Linda bagaimanapun mendakwa mereka kemudiannya bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk namun kembali bersama tidak lama selepas itu.
Beego dan Linda mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6 tahun.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


