PELAKON Kamal Adli mendedahkan sudah lama tidak bertemu isterinya yang juga aktres Uqasha Senrose selepas wanita itu dikatakan menyekat segala bentuk komunikasi sejak 27 September lalu.
Kamal atau Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, berkata, keadaan itu membuatkan dia begitu merindui isterinya.
“Kami dah lama tak berjumpa. Terus terang saya sangat merindui isteri saya.
“Lama kami dah tak berjumpa sejak dia menyekat saya di telefon dan media sosial,” katanya kepada mStar.

Kamal harap masalah ini dapat diselesaikan dengan baik.
Kamal berkongsi perkara itu ketika ditemui usai prosiding kedua di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, pada Selasa.
Dalam masa sama, Kamal turut menegaskan punca keretakan rumah tangga bukan disebabkan orang ketiga atau berlaku curang seperti yang mungkin disangka sesetengah pihak.
“Paling penting, saya nak beritahu di sini, saya tak curang. Saya tak ada orang lain.
“Saya tak ada sesiapa pun. Saya hanya ada dia (isteri) dan anak saya sahaja, okey?” tegasnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Uqasha Senrose nekad teruskan cerai, enggan komen soal rumah tangga
ARTIKEL BERKAITAN: Kamal Adli sebak di mahkamah, merayu netizen henti kecam Uqasha… “Saya letak semua salah pada diri sendiri”
Kamal turut menafikan dakwaan dia pernah bertindak kasar terhadap Uqasha seperti yang tular di media sosial.
“Itu dakwaan sahaja, bukan? Tak payahlah. Buktikanlah kalau betul, tak perlu buat benda-benda macam tu.
“Itu hal dalam kain. Apa pun, saya sayang dia, itu saja yang paling penting,” ujarnya.

Uqasha nekad untuk bercerai dengan Kamal.
Kes perceraian pasangan ini dijadualkan bersambung semula pada 19 November depan selepas prosiding kedua pada Selasa ditangguhkan oleh mahkamah.
Untuk rekod, Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia 18 bulan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


