suria

Hati-hati nak beli tiket kapal terbang, MAS dan AirAsia baru kemas kini format tulis nama penumpang

Format baharu yang diperkenalkan MAS dan AirAsia adalah sejajar dengan format nama pada zon boleh dibaca mesin (MRZ) dalam pasport. -Gambar hiasan

MENGISI nama ketika membuat pembelian tiket penerbangan sering kali menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penumpang.

Apa yang membimbangkan, sedikit kesilapan yang dilakukan boleh menjadi punca seseorang dinafikan untuk menaiki pesawat kerana butiran yang dimasukkan tidak sepadan dengan butiran pada pasport.

Terbaharu, dua syarikat penerbangan tanah air, Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia dilaporkan mengemas kini format nama penumpang bagi semua tempahan tiket penerbangan.

Langkah tersebut dibuat sejajar dengan format nama pada zon boleh dibaca mesin (MRZ) dalam pasport.

ARTIKEL BERKAITAN: Bercuti di Jepun... Individu menangis dalam ‘Shinkansen’, bertalu-talu dapat notifikasi transaksi kad kredit

Bagi tempahan tiket Malaysia Airlines, penumpang diwajibkan mengisi nama penuh termasuk elemen seperti 'Bin/Binti' dan 'Anak' dan diisi mengikut ejaan tepat seperti dalam pasport.

Ia bagi mengelak berlakunya masalah semasa daftar masuk (check-in). 

MAS walau bagaimanapun mengesahkan bahawa tempahan sedia ada tidak akan terjejas dengan peraturan baharu ini.

Langkah ini diambil bagi mengelakkan kekeliruan terutama bagi penumpang yang mempunyai nama bergaya Barat dalam pasport Malaysia mereka.

Berikut merupakan panduan mengisi nama dengan format baharu MAS:

Format mengisi nama MAS. -Foto sumber MAS

Sementara itu, AirAsia memperkenalkan format 'Given Name' dan 'Family Name' yang lebih jelas untuk semua tempahan.

Format ini direka bentuk untuk menampung pelbagai konvensyen nama daripada pelbagai latar belakang seperti Malaysia, Cina, India, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Kemas kini ini dijangka memberikan kejelasan dan kelancaran dalam proses tempahan dan perjalanan.

Berikut merupakan panduan mengisi nama dengan format baharu AirAsia:

Format mengisi nama AirAsia. -Foto sumber AirAsia

Oleh itu, anda disarankan untuk mengikut format baharu yang ditetapkan dan sentiasa menyemak butiran ketika dan selepas membuat tempahan tiket untuk mengelakkan masalah di saat akhir. -Aviationcareermalaysia

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia