KITA sering dipaparkan dengan perkongsian warga maya mengenai pengalaman pahit mereka ketika bercuti di luar negara, supaya dapat dijadikan pengajaran bersama.
Selain kisah menjadi mangsa penyeluk saku atau kena 'scam' dengan orang tempatan, pengalaman pahit lain yang lazim dialami adalah masalah melibatkan imigresen.
Dalam satu perkongsian di TikTok, seorang lelaki, @st.radzi menceritakan kisahnya berdepan detik cemas ditahan pegawai imigresen di lapangan terbang ketika mahu berlepas pulang ke tanah air selepas bercuti di Bali.
Menurutnya, masalah berpunca akibat tiada cop imigresen pada pasport ketika tiba di Indonesia.
"Jangan jadi macam aku. Aku baru balik dari Indonesia. Aku masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta (CGK) di Jakarta.
"Aku ikut prosedur semua macam biasa. Nak dijadikan cerita, mereka tak cop pasport aku. Dalam pasport aku langsung tak ada evidence (bukti) aku masuk ke Indonesia melalui CGK.
Pengembara dari Malaysia pernah berkongsi situasi cemas ketika ditahan pegawai imigresen di Korea Selatan. -Gambar hiasan
"Lebih teruk, dalam data mereka pun tak ada yang aku masuk Indonesia melalui CGK. Aku tak tahu apa yang berlaku sebenarnya.
"Selama 13 hari aku di Indonesia. Aku masuk ikut Jakarta dan nak keluar (pulang) dari Bali. Masalah ini bermula dekat Bali. Bila aku beri passport, mereka (imigresen) tanya 'bapak masuk Indonesia melalui mana?'" ceritanya.
Tambah lelaki berkenaan, kali terakhir dia berkunjung ke Indonesia adalah pada tahun lalu, yang mana ketika itu dia melancong ke Padang.
ARTIKEL BERKAITAN: Bercuti di Jepun... Individu menangis dalam ‘Shinkansen’, bertalu-talu dapat notifikasi transaksi kad kredit
"Jadi dari semakan pasport, mereka anggap aku overstay lama dari tahun lepas sampai sekarang di Bali," kongsinya.
Bercerita lanjut, katanya, dia menjadi makin cemas apabila dia dibawa bertemu tiga pegawai imigresen selain pasport miliknya 'ditahan'.
"Seorang pegawai tu tanya elok je dan kemudian bos dia datang. Memang kerek (berlagak). Aku tanya, 'Pak, jadi pasport saya macam mana?'. Dengan angkuhnya dia jawab 'Saya yang sepatutnya tanya kamu. Kamu masuk ke negara ini tanpa izin'.
"Memang situasi masa tu tegang sikit. Dia ingat aku tipu. Nasib baik kawan aku ada rekod video aku keluar flight masa kami sampai Jakarta. Dekat iPhone kan ada lokasi dan tarikh pada video dan gambar.
Sentiasa bersiap sedia dan teliti agar percutian yang dirancang tidak terganggu dengan insiden luar jangka. -Gambar hiasan
"Nasib baik ada video tu. Video itu yang menyelamatkan aku daripada dituduh overstay.
"Tapi yang aku pelik kenapa tak ada dalam sistem mereka. Kemudian dia pulangkan pasport dan arahkan aku terus ke gate," ceritanya.
Menganggap apa yang berlaku sebagai pengajaran berharga, lelaki berkenaan menitipkan pesanan kepada orang ramai agar lebih teliti memeriksa pasport masing-masing agar tidak ditimpa musibah sama.
"Ini bukan kali pertama aku travel. Nampak benda ni remeh tapi sebenarnya penting.
"Ya memang lecehlah nak check muka surat mana yang mereka cop. Tapi kelecehan itu sebenarnya super important," akhirinya.