suria

Novel manga ramal Jepun dilanda gempa bumi pada Julai... Ramai percaya, syarikat penerbangan mula ‘pening’ kepala

Novel manga The Future I Saw menjadi topik hangat selepas meramalkan Jepun akan dilanda gempa bumi pada Julai 2025.

PERCUTIAN ke Jepun sememangnya menjadi impian ramai. 

Negara 'matahari terbit' itu sering tersenarai dalam destinasi idaman para pengembara dari seluruh dunia, sama ada untuk menikmati keindahan bunga sakura, menjelajah kota moden Tokyo, mahupun merasai budaya tradisional yang unik masyarakat tempatan. 

Dengan gabungan teknologi canggih, warisan budaya dan landskap semula jadi yang menakjubkan, Jepun kekal sebagai antara pilihan utama pelancong dari seluruh dunia.

Bagaimanapun tatkala musim panas semakin hampir, timbul pula khabar angin mengenai ramalan akan berlakunya gempa bumi di negara berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bercuti di Jepun... Individu menangis dalam ‘Shinkansen’, bertalu-talu dapat notifikasi transaksi kad kredit

Laman Bloomberg pada Sabtu melaporkan, tempahan percutian ke Jepun dari beberapa pasaran utama Asia merosot dengan ketara menjelang musim panas, gara-gara khabar angin tentang gempa bumi besar yang diramalkan akan berlaku pada Julai 2025.

Ramalan berkenaan bukan dibuat oleh saintis, tetapi daripada sebuah novel grafik manga!

Novel berjudul The Future I Saw karya Ryo Tatsuki, diterbitkan semula pada tahun 2021 dengan kandungan tambahan dan sejak kebelakangan ini, spekulasi mengenai ramalan gempa bumi mula berlegar kembali di media sosial.

Video di YouTube dan hantaran di Facebook yang menggesa orang ramai agar berhati-hati jika ingin melancong ke Jepun, kini meraih jutaan tontonan.

Dalam karya asal yang mula diterbitkan pada 1999, Tatsuki, seorang artis manga yang kini bersara, menggambarkan mimpi-mimpinya tentang bencana alam, termasuk tsunami besar yang melanda Jepun serta bakal memberi kesan kepada Hong Kong, Taiwan dan Filipina.

Vehicles move around Rikuzentakata, Iwate prefecture on March 29, 2011.Japan was hit on March 11 by a massive quake and tsunami that shattered towns along the coast of the northeastern Tohoku region, has left more than 28,000 dead or missing, and sparked a major nuclear plant emergency.AFP PHOTO / TOSHIFUMI KITAMURAKemusnahan di Iwate selepas Jepun digegarkan dengan gempa bumi dahsyat pada Mac 2011.

Khabar angin itu juga telah didorong oleh ahli feng shui Hong Kong terkenal, yang memberikan ramalan kepada pengikut dalam talian dan menggesa pelancong untuk 'mengelakkan' Jepun.

Analisis oleh Bloomberg Intelligence menunjukkan bahawa tempahan penerbangan dari Taiwan, Korea Selatan, dan Hong Kong ke Jepun telah menurun sejak April. 

Dari Korea Selatan sahaja, tempahan menurun sebanyak 50 peratus berbanding tahun lalu, manakala ketibaan mingguan dari hab kewangan Asia pada akhir Jun hingga awal Julai dijangka menjunam sehingga 83 peratus.

Sementara itu, syarikat penerbangan seperti Greater Bay Airlines dan Hong Kong Airlines dilaporkan telah mengurangkan beberapa penerbangan ke Jepun bulan ini.

Penganalisis penerbangan di Bloomberg Intelligence, Eric Zhu, menjangkakan syarikat penerbangan seperti Cathay Pacific akan terjejas lebih teruk kerana kebergantungan tinggi kepada laluan ke Jepun.

Pihak berkuasa Jepun menyuarakan kebimbangan terhadap penyebaran khabar angin berkenaan dan menyeru orang ramai agar tidak mempercayai spekulasi sedemikian.

Agensi Meteorologi Jepun juga mengingatkan bahawa pada masa kini, saintis masih belum mampu meramalkan dengan tepat bila dan di mana gempa bumi akan berlaku.

Jepun yang terletak di kawasan 'Ring of Fire', terkenal dengan sejarah gempa bumi, termasuk tragedi besar pada tahun 2011 yang mencetuskan tsunami dan bencana nuklear di Fukushima.

Di sebalik kebimbangan yang timbul, aktiviti pelancongan di Jepun masih menunjukkan angka yang menggalakkan. 

Pada April 2025, Jepun menerima 3.9 juta pelawat asing, jumlah tertinggi yang pernah direkodkan, didorong oleh faktor nilai yen yang rendah selain keindahan musim bunga.

Sementara itu dalam satu kenyataan kepada Bloomberg, Tatsuki menegaskan bahawa beliau tidak berniat mencetuskan panik. 

Malah ujarnya, beliau percaya minat terhadap karyanya mencerminkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya kesiapsiagaan bencana.

"Saya sendiri mengambil langkah berjaga-jaga seperti menyimpan stok keperluan dan mengenal pasti laluan pemindahan. 

"Saya akan terus berwaspada apabila Julai 2025 semakin menghampiri," ujarnya.

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia