suria

Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2025 jelajah 6 negeri... Tawar promosi pakej percutian, aktiviti menarik

Tiong King Sing (tengah) bersama Chan Seng Fatt (dua kiri) melancarkan Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia di Menara Star pada Jumaat.

TOURISM Malaysia dengan kerjasama strategik Star Media Group Berhad (SMG) melancarkan Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2025, pada Jumaat.

Inisiatif pelancongan domestik berskala nasional itu bertujuan merancakkan industri, meraikan budaya tempatan serta menyemarakkan semangat kebangsaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Majlis pelancaran karnival ini disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing di Cybertorium, Menara Star di Petaling Jaya, Selangor.

Karnival ini akan berlangsung di enam lokasi serata Malaysia iaitu Pahang, Lembah Klang, Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor dengan sasaran dapat menarik lebih 200,000 pengunjung.

Antara tarikan utama karnival ialah gerai kraf tempatan, pameran pelancongan, persembahan kebudayaan, promosi pakej percutian, pesta makanan, jualan, hadiah cabutan bertuah serta aktiviti mesra keluarga.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMG, Chan Seng Fatt berkata karnival ini bukan sahaja memupuk semangat pelancongan domestik malah menyokong ekonomi negara.

Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2025 akan berlangsung di enam lokasi bermula September depan.

Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2025 akan berlangsung di enam lokasi bermula September depan.

"Frasa Cuti-Cuti Malaysia mengingatkan kita pada kenangan bersama keluarga perjalanan jalan raya, pantai indah, makanan lazat di pekan kecil, atau pemandangan dari puncak bukit yang menakjubkan. 

"Semua ini menghubungkan kita dengan negara dan sesama kita,” katanya.

Beliau berkata, sektor pelancongan domestik merekodkan prestasi cemerlang pada 2024 dengan jumlah perbelanjaan pelancong mencecah RM106.7 bilion, meningkat 25.6 peratus berbanding tahun sebelumnya. 

Jumlah pelawat domestik juga naik 21.7 peratus kepada 260.1 juta orang.

“Ini lebih daripada sekadar angka. Ia bermakna hotel terus beroperasi, peniaga pasar habis jualan, pemandu pelancong mendapat pekerjaan dan kedai makan keluarga menerima pelanggan baharu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Datin Rafidah Idris berkata karnival edisi kedua ini mendapat sokongan penuh kerajaan dan penyertaan pelbagai pemain industri.

“Setiap lokasi akan menghimpunkan antara 120 hingga 200 penyertaan termasuk agensi pelancongan, pengusaha produk pelancongan, pengusaha kraf, pemilik hotel, restoran dan usahawan kecil,” katanya.

Beliau menegaskan, penglibatan persatuan industri seperti Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) dan Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA)  turut diperkukuh bagi memberi ruang lebih luas kepada ahli mereka.

Jadual Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2025

1. Pahang – 19 hingga 21 September di Kuantan City Mall, Kuantan

2. Lembah Klang (The Great Outdoor Expo) – 3 hingga 5 Oktober di MAEPS, Serdang

3. Sabah – 10 hingga 12 Oktober di Imago Mall, Kota Kinabalu

4. Sarawak – 17 hingga 19 Oktober di Plaza Merdeka, Kuching

5. Pulau Pinang – 31 Oktober hingga 2 November di Gurney Paragon Mall, George Town

6. Johor – 7 hingga 9 November di Paradigm Mall Convention Centre, Johor Bahru

Artikel Lain