suria

Dah lawat lebih 50 negara, wanita ini senaraikan sebab kenapa Malaysia paling istimewa

Nola berkongsi pandangan mengenai kelebihan Malaysia berbanding lebih 50 negara yang pernah dilawatinya.

SEORANG pengembara solo rakyat Malaysia yang telah mengembara ke lebih 50 negara berkongsi pandangan tentang kelebihan negara ini berbanding destinasi lain di dunia.

Aspek yang disentuh wanita yang dikenali sebagai Nola itu merangkumi makanan, kepelbagaian budaya, sistem kesihatan, pengangkutan awam serta sikap rakyat yang mesra.

Menurutnya, makanan Malaysia adalah antara yang terbaik kerana pelbagai pilihan tersedia daripada nasi lemak, makanan Jepun, hinggalah ke hidangan Timur Tengah dan Barat.

Bagi wanita itu, kepelbagaian ini adalah sesuatu yang jarang ditemui di negara lain yang menumpukan hanya kepada masakan tempatan.

Dia turut memuji sistem pengangkutan awam Malaysia yang berhubung baik, bersih dengan harga yang berpatutan. 

Malah, kemudahan penyaman udara di pusat beli-belah, hotel dan pengangkutan awam disifatkan sebagai satu kelebihan yang tidak terdapat di kebanyakan negara lain.

Sistem pengangkutan awam Malaysia antara yang terbaik di dunia.Sistem pengangkutan awam Malaysia antara yang terbaik di dunia.

Dari segi kebersihan, katanya Malaysia mungkin bukan yang paling bersih di dunia, namun masih jauh lebih baik berbanding sebahagian negara lain. 

Dari sistem kesihatan pula, Malaysia dianggap memuaskan dengan kelebihan doktor yang boleh berkomunikasi dalam pelbagai bahasa.

Tambahnya lagi, nilai wang di Malaysia lebih tinggi berbanding di luar negara.

Contohnya, RM100 boleh mendapatkan penginapan sebuah apartmen di Airbnb, manakala di banyak negara lain jumlah yang sama hanya mampu menyewa bilik hostel.

Paling dirasai katanya, ialah semangat kepelbagaian budaya yang benar-benar diraikan di Malaysia dari makanan halal pelbagai kaum sehinggalah hubungan erat antara masyarakat berbilang bangsa.

 

Artikel Lain