MEMANG mengiurkan kalau terbayang ayam goreng daripada beberapa restoran makanan segera sehingga ramai beranggapan, bahan perasa yang digunakan adalah mahal.
Malah ada yang menyatakan pihak restoran makanan segera menggunakan pelbagai campuran herba rahsia bagi mengekalkan rasa lembut meskipun ayam digoreng rangup.
Menerusi hantaran di media sosial, Alif Adha Mohd Kamal mendedahkan teknik yang digunakan bagi memastikan ayam goreng kekal lembut seperti dijual restoran makanan segera.
Dia yang juga seorang jurutera berkata, cara yang digunakan adalah wet brine iaitu proses merendam ayam di dalam larutan garam selama beberapa jam.
"Teknik ni aku biasa digunakan untuk masak ayam goreng. Kalau betul cara, bahagian dada akan rasa paling sedap.
"Budak-budak yang nak buat side income boleh berniaga crispy tenders," katanya sambil berkongsi cara yang dilakukan.
Cara perapan:
1. Basuh ayam sehingga bersih dan potong mengikut cita rasa.
2. Buatkan bancuhan air garam mengikut kadar satu suku cawan garam bagi 16 cawan air.
3. Kemudian rendam setiap bahagian dalam air garam selama enam jam.
4. Apabila cukup tempoh, bersihkan ayam tadi dan salut dengan tepung untuk digoreng.
Tip: Anda boleh menggunakan teknik wet brine pada kentang dan daging juga. Bukan sahaja lembut dan mudah dimasak, hasilnya tidak akan liat walaupun tidak mengambil masa lama.