MELIHAT video mukbang atau makanan jalanan (street food) pastinya mengiurkan.
Maka tidak hairanlah apabila ramai yang melancong ke luar negara semata-mata ingin mencuba kepelbagaian makanan yang dijual.
Bagi kebanyakan rakyat Malaysia yang melancong ke Korea Selatan, mereka pasti akan mencuba 'street food' di Myeongdong.
Bagaimanapun, ramai tidak tahu bahawa bukan semua makanan tersebut halal dan mesra muslim seperti dikongsikan graduan teknologi makanan dikenali sebagai Fara di laman Threads.
"Sebenarnya saya takut tengok orang Muslim makan macam-macam di Myeongdong tu. Dalam masa yang sama saya juga takut nak tegur.
"Mungkin dengan posting ni akan membantu orang-orang yang mencari penerangan lebih jelas.
"Saya bukanlah ustazah tapi ada sedikit ilmu dan pengalaman dalam bidang halal ni. Tak payah jadi ustazah dulu kalau nak berbuat baik kan?" katanya.
Dia kemudian menyenaraikan makanan yang sering diambil mudah tentang status halalnya oleh kebanyakan pelancong.
Bagaimanapun katanya makanan yang disenaraikan ini tidak semestinya tidak halal, justeru dia meminta orang ramai menggunakan kebijaksanaan sendiri sebelum memilih untuk membelinya.
1. Aiskrim
Aiskrim merupakan hidangan yang paling ramai ambil ringan tentang status halalnya.
Untuk makluman semua, aiskrim turut mengandungi beberapa bahan sensitif seperti gelatin dan rennet kerana ia memberikan rasa kenyal, berkrim dan berkeju.
Kebanyakan bahan ini berasal dari lemak khinzir mahupun lembu yang perlu diteliti tentang cara penyembelihan.
Pewarna tiruan dan emulsifier (penstabil) pula berkemungkinan mengandungi alkohol.
Selain itu, dikhuatiri terdapat 'cross contamination' seperti aiskrim bercampur antara halal dan tidak halal di kilang.
Myeongdong antara lokasi tumpuan pelancong yang datang ke Korea Selatan.
2. Gochujang
Sebut sahaja makanan Korea, pasti ramai membayangkan rasa pedas gochujang atau lebih dikenali sebagai sambal versi Korea.
Sambal yang merah dan pedas ini sering dijadikan penambah rasa dalam kebanyakan makanan antaranya tteokbokki, sos ayam Korea dan stew.
Di Malaysia sekali pun, susah untuk anda mendapatkan gochujang versi halal kerana kebanyakan yang diimport ditambah dengan alkohol bagi mempercepatkan proses fermentasi dan tahan lama.
3. Ramen
Meskipun bungkusannya sama seperti di Malaysia, tapi ia tidak halal apabila dijual di Korea.
Untuk makluman, pasaran halal luar dari Korea datang dari kilang khas, oleh itu anda perlulah meneliti logo halal terlebih dahulu.
4. Mentega
Merupakan bahan utama dalam pembuatan pastri dan roti.
Kebanyakannya menggunakan lemak haiwan, emulsifier dan enzim dari lembu yang tidak disembelih.
Kebanyakan makanan Korea berasaskan gochujang.
5. Mayonis
Walaupun diperbuat daripada telur, namun mayonis yang dihasilkan untuk tujuan komersial mengandungi cuka.
Perlu diketahui, terdapat cuka yang datang dari fermentasi arak (alcohol-based vinegar).
6. Kopi
Tidak lengkap sekiranya peminat kopi tidak mencuba 'air tangan' rakyat Korea Selatan apabila melancong ke sana.
Namun anda perlulah mengetahui bahawa kopi berperisa tambahan seperti hazelnut, caramel machiato dan vanila memerlukan bahan pelarut untuk memudahkannya sebati dalam air.
Kebiasaannya pelarut mempunyai alkohol.
Oleh itu, anda disarankan supaya menikmati kopi biasa seperti Americano dan latte.
7. Sos perasa
Anda yang membeli spiral kentang mungkin tiada masalah, namun sos cili, teriyaki dan buldak dibimbangi mempunyai secukup rasa berperisa khinzir.
Ini kerana, sos cili bukan semata-mata ada cili, garam dan gula sahaja sebaliknya perlu ditambah perasa tiruan, emulsifier serta pengawet yang dibimbangi syubhah.