APABILA melancong ke sesuatu destinasi, bukan hanya pemandangan indah atau tarikan ikonik sahaja yang menjadi fokus utama, sebaliknya kini pengalaman menjamah sajian tempatan yang unik turut tersemat dalam ingatan.
Maka tidak hairanlah apabila kulinari dianggap sebagai ‘jiwa’ di sesuatu kawasan atau destinasi.
Seiring dengan usaha untuk menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab transit kegemaran, sektor makanan dan minuman (F&B) dipertingkatkan menerusi penganjuran KULinary.
Berkongsi mengenainya, Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial, Malaysia Airports Holdings Berhad, Hani Ezra Hussin berkata, KULinary mula diperkenalkan pada 2016 dan terus menjadi platform untuk menampilkan pengalaman kulinari terbaik di KLIA.
Menariknya pada edisi tahun ini, ia memberi penekanan lebih kepada makanan sebagai satu 'must-have' dalam perjalanan setiap pengunjung.
Ia sekali gus menjadikan KLIA bukan sekadar hab transit tetapi berdiri megah sebagai satu destinasi tersendiri.
"Di Malaysia Airports, sektor makanan dan minuman merupakan kategori penting dan disifatkan sebagai F&B is the new retail.
"Maksudnya, fokus kami bukan sahaja pada kedai-kedai bebas cukai, tetapi turut menjadikan sektor makanan dan minuman sebagai elemen utama yang dicari penumpang.
Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial, Malaysia Airports Holdings Berhad, Hani Ezra Hussin.
"Oleh itu, kami telah mengambil langkah untuk mengimbangi semula ruang komersial antara F&B dan retail bagi memenuhi permintaan ini," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Anugerah KULinary Malaysia Airports 2025 di KLIA Terminal 1 pada Khamis.
Menurut Hani Ezra, menerusi penganjuran anugerah itu, pelbagai jenama F&B tempatan dapat diketengahkan seterusnya menjadi pilihan antarabangsa.
Inisiatif ini menjadikan pengalaman menjamu selera di KLIA lebih mudah diakses, menyeronokkan dan praktikal untuk semua.
Ini kerana, KULinary mencerminkan kepelbagaian dan kualiti pengalaman yang ingin disampaikan kepada pengunjung.
Selain itu, ia juga meletakkan KLIA sebagai pintu masuk kepada kulinari Malaysia, sambil menawarkan citarasa antarabangsa yang sudah pun dikenali dan digemari oleh semua pengunjung.
Pendekatan ‘mystery diner’ oleh profesional kulinari dan editor Tatler Dining menjadikan pemilihan yang dibuat untuk Anugerah KULinary Malaysia Airports 2025 lebih telus dan adil.
Mana tidaknya, mereka memastikan keaslian dengan menilai pengalaman sebenar yang dialami penumpang setiap hari menerusi penyamaran sepanjang tempoh dua minggu.
Jibby Chow antara penerima anugerah terbanyak pada majlis tersebut.
Setiap outlet dinilai berdasarkan suasana, kualiti makanan dan minuman di samping perkhidmatan serta persembahan.
Malah pengiktirafan outlet dibuat berdasarkan pengalaman luar biasa selaras dengan jangkaan tinggi penumpang di KLIA.
Tambah Hani Ezra lagi, edisi KULinary tahun ini lebih besar dan menarik, sekali gus memberikan pengembara perasaan lebih teruja untuk meneroka pengalaman kulinari di KLIA.
"Selain mengiktiraf pengendali F&B terbaik, kami juga menyusun promosi yang menekankan rasa dan nilai dalam pengalaman lapangan terbang," tambahnya.
Sehubungan itu, tiga pakej disediakan untuk pilihan pelancong domestik mahupun antarabangsa.
Bagi KULBites, pengunjung boleh berbelanja RM40 di outlet terpilih dan menikmati potongan segera RM10 yang bermula 26 September hingga 26 November 2025.
KULinary Spotlight pula adalah outlet bertaraf anugerah yang menawarkan pakej istimewa hidangan signature.
Antara penerima anugerah yang mewakili outlet F&B terlibat.
Menyedari kebanyakan pelancong yang tiba memiliki jadual padat, pakej 15-Minute Meals turut dilancarkan.
Melalui pakej ini, pengunjung boleh mendapatkan hidangan segar dan pantas dalam tempoh 15 minit sahaja.
Inisiatif ini menjadikan pengalaman menjamu selera di KLIA lebih mudah diakses, menyeronokkan dan praktikal untuk semua.
"KULinary membantu kami memacu pertumbuhan komersial dengan meningkatkan daya tarikan KLIA sebagai hab yang meriah, menarik lebih ramai pengunjung serta meningkatkan perbelanjaan.
"Pengalaman kulinari yang hebat mencipta kenangan berpanjangan, menggalakkan lawatan berulang, dan mengukuhkan ekosistem komersial kami.
"Melangkah ke hadapan, kami melihat KLIA sebagai pentas global untuk keunggulan kulinari Malaysia, di mana pengembara dapat merasai budaya makanan kita.
“Ia sekali gus mengukuhkan kedudukan KLIA sebagai hab penerbangan dan gaya hidup terkemuka," jelas Hani Ezra.