suria

Penyediaan mudah, rasa padu! Mak-mak, geng bujang kena cuba masak ikan dori kukus halia

Resipi ikan dori kukus halia yang hanya memerlukan masa penyediaan sekitar 20 minit. -Foto helloshafrina

SABAN hari memasak, ada kalanya 'kering' juga idea memandangkan asyik mengulang menu sama, lagi-lagi kalau mahu sediakan hidangan yang cepat, mudah dan tak perlukan bahan rumit.

Di laman Threads, seorang wanita berkongsi resipi ikan dori kukus halia yang bukan saja ringkas untuk disediakan, malah menyihatkan dan sesuai dinikmati seisi keluarga. 

Resipi ini sememangnya ideal bagi anda yang ingin memasak tanpa perlu bersusah payah dan duduk di dapur terlalu lama.

Jom cuba resipi yang dikongsikan oleh @helloshafrina!

Bahan-bahan:

1. Ikan dori (boleh guna ikan dori sejuk beku)

2. Bawang putih dikisar kasar

3. Halia

4. Daun bawang

5. Daun ketumbar

6. Sos tiram

7. Kicap cair

8. Minyak bijan

9. Sos ikan

10. Lada sulah dan serbuk perasa

Minyak gorengan bawang putih yang dijadikan kuah untuk disiram di atas ikan dori. 

Cara-caranya:

1. Kukus ikan tanpa air, taburkan hirisan halia dan daun bawang. Kukus selama 10 minit.

2. Sementara menunggu ikan dori yang dikukus, panaskan minyak dalam kuali dan goreng bawang putih yang dikisar kasar atau dipotong halus.

3. Apabila sudah kekuningan, angkat bawang putih.

4.Minyak gorengan tadi ambil sedikit. Kemudian campurkan minyak itu dengan sedikit sos tiram, sos ikan, minyak bijan, kicap cair, lada sulah dan serbuk perasa (atau garam). Gaulkan. Semuanya dalam kuantiti sedikit untuk elak kuah masin.

5.Tuang campuran tadi ke dalam bekas ikan dori kukus. Taburkan sedikit daun ketumbar di atasnya.

6. Kukus lagi 10 minit.

8. Selepas siap, taburkan bawang putih goreng di atas ikan dori sebagai pelengkap hidangan.

Ikan dori kukus halia sedia untuk dinikmati... selamat mencuba!

 

Artikel Lain