JIKA bercuti ke Pantai Timur, salah satu menu ‘wajib cuba’ yang sentiasa jadi kegemaran ramai pastinya makanan celup tepung.
Tak kira sotong, udang atau ikan, apabila disalut tepung yang garing, dimakan panas-panas tepi pantai… memang mantap.
ARTIKEL BERKAITAN: Sangai sendiri rempah, baru autentik! Jom cuba resipi kari kambing Kuzhambu hidangan istimewa Deepavali, pasti menjilat jari
Tapi kalau asyik teringat-ingat menu celup tepung dari Kuala Terengganu atau Kuantan, apa kata anda buat sendiri saja di rumah.
Sebenarnya tak susah pun, lebih-lebih lagi apabila ada perkongsian daripada tukang masak restoran, Rizal Tomyam, yang tak lokek berkongsi resipi bancuhan celup tepung ala Pantai Timur.
"Bancuhan ni kita boleh guna untuk sotong, udang, ikan atau apa saja bersangkutan dengan celup tepung, anda boleh cuba," kata Rizal dalam satu perkongsian di media sosial.
Bahan-bahan:
10 atau 11 biji telur
2 peket tepung jagung
Garam secukup rasa
Sedikit serbuk perasa
Pewarna kuning (pilihan)
Cara-cara Penyediaan:
1. Pecahkan telur satu per satu ke dalam mangkuk besar.
2. Masukkan setengah sudu kecil garam, serbuk perasa dan pewarna kuning jika mahu.
3. Tambahkan tepung jagung ke dalam bancuhan telur tadi.
4. Gaul hingga sebati. Pastikan adunan tidak berketul dan cukup likat untuk salut makanan laut.
5. Celup bahan laut pilihan anda seperti udang, sotong atau ikan ke dalam adunan, kemudian terus goreng dalam minyak panas sehingga garing keemasan.
Menurut Rizal lagi, 'rahsia' utama untuk memastikan tepung kekal rangup adalah dilarang menambah air di dalam adunan.
"Kalau anda nak celup tepung rangup, jangan letak air. Memang pantang kalau letak air. Dua hari pun celup tepung anda masih rangup!" ujarnya.
Anda bukan sahaja boleh berjimat, tetapi juga puas hati sebab boleh buat ikut cita rasa sendiri.
Mahu lagi sedap? Makan panas-panas dengan sos cili Thai atau pencicah air asam.
Selamat mencuba!
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        

