suria

Pernah dengar sambal garing bunga kantan? Makanan orang lama dimakan dengan nasi panas

Sambal garing bunga kantan sangat mudah untuk disediakan.

SAMBAL merupakan antara pelengkap hidangan dalam masakan Melayu yang tidak pernah lekang dek zaman.

Di sebalik pelbagai jenis sambal yang kita kenal, sambal garing bunga kantan tampil dengan keistimewaannya tersendiri.

Bukan sahaja kerana rasanya yang pedas garing, tetapi aroma harum bunga kantan memberikan sentuhan unik pada setiap suapan.

Resipi sambal garing bunga kantan ini juga amat mudah disediakan. 

Ia tidak memerlukan banyak bahan dan boleh disiapkan dalam masa yang singkat.

Jom kita lihat bahan dan langkah-langkah untuk menyediakan sambal yang lazat ini, sebagaimana perkongsian pengguna TikTok, Yatul Hakim.

Bunga kantan dan ikan bilis merupakan ramuan utama.

Bahan-bahan:

Bunga kantan

Minyak masak untuk menggoreng

Ikan bilis

Serbuk ikan bilis

Garam

Gula

Bahan kisar:

Bawang merah

Bawang putih

Cili api biasa

Cili api kampung

Cili merah

Bahan kisar untuk memberikan rasa pedas.

Cara-caranya: 

1.⁠ ⁠Kisar bawang merah, bawang putih, cili api biasa, cili api kampung dan bawang merah. Kisar kasar, tidak perlu halus.

2.⁠ ⁠Hiris halus bunga kantan dan goreng seketika. Angkat dan toskan.

4.⁠ ⁠Goreng ikan bilis hingga garing. Angkat dan toskan.

5.⁠ ⁠Menggunakan minyak yang sama (dikurangkan sedikit kuantiti minyak), tumis bahan kisar hingga naik bau.

6.⁠ ⁠Masukkan sedikit gula, garam dan serbuk ikan bilis. Masak hingga garing dan biarkan ia sejuk sedikit. 

7.⁠ ⁠Kemudian baru masukkan ikan bilis dan bunga kantan yang digoreng tadi bersamanya di dalam kuali. Gaul sekata.

8.⁠ ⁠Sedia untuk dihidang.

Sambal ini bukan sekadar sesuai dimakan segera, malah boleh tahan lama jika disimpan dengan betul.

Justeru ia menjadi pilihan terbaik untuk dijadikan stok sambal atau bekalan semasa perjalanan jauh.

Selamat mencuba!

Artikel Lain