suria

Roti masih lembut lepas dipanaskan semula... Azack Pizza buktikan jenama Malaysia berjaya menambat selera

Jenama Azack Pizza bermula ketika Malaysia dilanda pandemik Covid-19.

SIAPA sangka, idea spontan ketika pandemik Covid-19 membawa pasangan suami isteri ini mencipta jenama piza tempatan yang kini semakin dikenali ramai.

Lima tahun lalu, Mohd Khairil Azrin Rafli, 49, dan isterinya, Siti Rokhiyah Robidi, 47, memulakan Azack Pizza hanya dari rumah selepas bisnes F&B mereka sebelum ini terpaksa ditutup akibat pandemik.

“Waktu itu saya cakap pada isteri, ada tiga kilogram (kg) tepung saja di rumah, jadi kita cuba buat piza dan jual pada jiran,” katanya kepada mStar.

Menurut Khairil, isterinya memang mahir dalam pembuatan makanan berasaskan tepung seperti karipap dan kuih tradisional, lalu mereka menyesuaikan kemahiran itu ke dalam resipi piza.

“Piza Azack adalah Piza citarasa asia, doh yang kami hasilkan 100 peratus menggunakan minyak zaitun. Doh kami lembut, hasil olahan sendiri supaya apabila dipanaskan pun masih kekal lembut. 

Pasangan suami isteri ini bakal memperkenalkan menu pizza wagyu tidak lama lagi.

"Semua sos topping kami masak sendiri ikut cita rasa tempatan, contohnya piza seafood cili yang diinspirasikan daripada resepi cili ketam,” ujarnya lagi.

Antara pilihan paling laris ialah Beef Paperoni, Seafood Salted Egg dan Sloppy Azack, dengan lebih 18 jenis topping ditawarkan.

Menariknya, mereka juga berani bereksperimen dengan bahan seperti gochujang iaitu pes cili merah dari Korea bagi mencipta rasa baharu yang unik.

Kini, Azack Pizza mempunyai dapur pusat di Cyberjaya serta kiosk di Sogo Kuala Lumpur dan Petronas Kota Serimas. 

Selain menjual piza, mereka turut memperkenalkan program keusahawanan bagi membantu orang ramai menjana pendapatan dari rumah.

Azack Pizza berbeza dengan jenama lain kerana ia mengekalkan rasa tempatan dalam setiap olahan.

“Setakat ini, ada 37 usahawan dari seluruh Malaysia, termasuk di Kelantan, Kedah, Johor, Terengganu dan Melaka yang menyertai kami,” jelasnya.

Menerusi program itu, usahawan akan menerima peralatan, latihan serta dilengkapi aplikasi jualan, membolehkan mereka menjana pendapatan sehingga ribuan ringgit sebulan.

Harga piza Azack bermula dari RM8.90 hingga RM32.90 mengikut saiz, dan mereka kini giat mempromosikan produk melalui media sosial.

Pasangan yang sudah berkahwin selama 21 tahun itu kini dibantu empat kakitangan tetap serta anak mereka dalam menguruskan perniagaan. 

Tidak berhenti di situ, Azack Pizza bakal memperkenalkan menu baharu, piza wagyu dengan harga mampu milik hanya RM49.90, menggunakan daging wagyu dari Jepun.

“Ramai jual piza wagyu tapi harganya terlalu tinggi. Kami mahu semua orang rasa kemewahan wagyu pada harga berpatutan,” katanya.

Dengan dua kiosk beroperasi kini dan perancangan membuka restoran sendiri tidak lama lagi, Azack Pizza membuktikan bahawa cita rasa Malaysia juga mampu menyaingi jenama antarabangsa.

Artikel Lain

Daddy Rock meninggal dunia