suria

Haram tindik hidung! Reda suami tak ‘valid’, PU Syed ingatkan kewajipan patuh larangan Islam

PU Syed (gambar kecil) mengulas mengenai trend pemakaian tindik di hidung dalam kalangan orang Islam.

SALAH satu trend yang semakin mendapat tempat terutama dalam kalangan wanita dan kadangkala lelaki, ialah perbuatan menindik hidung. 

Walaupun ia sering dianggap sebagai satu bentuk fesyen atau simbol budaya, amalan ini adalah dilarang dan hukumnya haram di sisi Islam.

Pendakwah bebas, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali sebagai PU Syed tampil menyuarakan teguran dan menerangkan hukum perbuatan menindik hidung.

ARTIKEL BERKAITAN: “Jika sah lafaz talak dua, tak boleh rujuk lagi” - PU Syed ulas Siti Jamumall dicerai 3 kali ketika ‘live’

Ia sebagai maklum balas terhadap kenyataan seorang selebriti wanita yang terbuka mengakui tidak kesah dikecam kerana bertindik di hidung, selain ia mendapat 'lampu hijau' daripada suaminya.

"Hukum menindik hidung ni, bukan kata suami setuju, mak ayah tak marah dan sebagainya… ini bukan isunya.

"Isunya perbuatan menindik hidung ini hukumnya adalah haram. Sebab ia masuk dalam hukum tasyabbuh iaitu menyerupai kaum beragama lain.

"Nabi kata (bersabda) maksudnya, 'sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka' (Riwayat Abu Daud).

"Bahkan ada fatwa dikeluarkan jabatan mufti yang mengatakan perbuatan menindik hidung ini adalah haram," ujarnya.

Orang Islam dilarang untuk memakai tindik selain di telinga kerana hukumnya haram. -Gambar hiasan

Tambah PU Syed, sebagai umat Islam, kita disarankan untuk merujuk hukum terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara kerana agama jelas meletakkan garis panduan berdasarkan al-Quran dan hadis.

"Kalau Islam yang majoritinya menindik telinga, cukup sekadar menindik telinga… tak payah sampai menindik hidung, bulu kening, lidah.

"Hasrat itu bukan masalah netizen kecam, bukan masalah netizen memberikan pandangan negatif tapi pandangan Islam sendiri mengatakan perbuatan itu haram maka tak usah kita buat.

"Walaupun suami kita reda, mak ayah tak marah tapi Islam melarang perbuatan itu. Maka kita letakkan larangan Islam itu sebagai keutamaan (aulawiyat) dalam satu-satu perkara kita nak lakukan," terangnya lagi.

Sebagai panduan bersama, memetik laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum menindik hidung adalah haram menurut mazhab Syafie. 

Hal ini kerana perbuatan meletakkan barang kemas pada hidung bukan bentuk perhiasan yang menjadi kebiasaan masyarakat setempat.

"Selain itu, pengharaman menindik hidung kerana unsur penyerupaan (tasyabbuh) tradisi agama lain yang berkait rapat dengan ritual keagamaan," menurutnya.

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia