RASA sayu dan pilu menyelubungi seorang wanita tatkala dia terpandang satu pusara kanak-kanak ketika menziarahi sebuah tanah perkuburan.
Menurut wanita itu, hatinya tersentuh apabila terlihat kubur anak kecil itu dihiasi dengan rumput palsu, pokok tiruan dan beberapa permainan kanak-kanak.
"Kejadian depan mata. Kami pergi melawat kubur ahli keluarga. Dalam berjalan sambil lihat kiri kanan, saya ternampak satu kubur ni. Semestinya (kubur) seorang anak kecil.
"Ada mainan anak di kubur sebagai hiasan. Melihat, tapi menusuk di jiwa. Cantik, bersih dan kemas ibunya hias kubur. Mungkin kehilangan yang sangat melukakan," tulis wanita itu dalam hantaran di media sosial.
Wanita berkenaan turut memaklumkan bahawa gambar tersebut diambil pada tahun 2021 namun baru kini dia beranikan diri untuk berkongsi demi memberi kesedaran kepada umat Islam.
"Alhamdulillah masih ramai orang Islam kita sedar akan perkara macam ini dan tak sepatutnya berlaku. Maaf jika posting ini mengganggu mana-mana pihak," katanya lagi.
Perkongsian itu menarik pelbagai reaksi netizen termasuk daripada individu yang berkecimpung dalam urusan pengebumian.
Kubur tidak perlu dihias secara berlebihan, sebaliknya memadai dengan hanya batu nisan sebagai penanda. -Gambar hiasan
Menurut seorang lelaki, tujuan asal binaan seperti kepuk dan batu nisan hanyalah untuk memudahkan waris atau orang ramai mengenal pasti lokasi kubur.
"Saya menjual kepuk dan batu nisan. Suka saya ingatkan, kepuk dan batu nisan ini bertujuan sebagai tanda sahaja. Cukup sekadar bersih dan tulisan pada batu nisan jelas dibaca.
"Yang dihias-hias ini tak perlu kerana bukan roh yang bermain di situ pun. Boleh jadi syirik nanti. Wallahualam," katanya.
Sementara itu menurut penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus, hukum menghias kubur bergantung kepada niat dan cara ia dilakukan di mana ada yang dibolehkan dan dilarang.
Antara yang dilarang ialah mengecat atau mewarnakan kubur semata-mata untuk kelihatan cantik atau sebagai perhiasan yang bertentangan dengan syarak.
Hukum tersebut menurut Azhar adalah makruh kerana terdapat hadis yang melarang perbuatan menghias kubur untuk tujuan bermegah atau menunjuk-nunjuk.
Namun, jika cat itu digunakan bagi tujuan menjaga kebersihan atau memudahkan pengecaman ketika menziarah maka hukumnya harus, menurut sebahagian ulama.
Perkongsian ini menjadi peringatan bahawa umat Islam tetap perlu mematuhi garis panduan syarak agar tidak terjerumus ke dalam perbuatan yang menyalahi ajaran agama.