suria

Bergurau kongsi sejarah seks... PU Syed label trend S-Line sebagai 'kebodohan yang dipilih'

Ramai yang mengikuti trend S-Line di media sosial tanpa berasa malu.

TREND terbaharu dikenali sebagai 'S-Line' mula menimbulkan kegusaran apabila ia dilihat membuka ruang kepada pendedahan aib secara terbuka, sekali gus bertentangan dengan nilai agama dan norma masyarakat Timur.

Trend berkenaan menunjukkan garisan merah dilukis di atas kepala seseorang, kononnya melambangkan tahap pengalaman seksual individu tersebut. 

Semakin banyak garisan, kononnya semakin tinggi pengalaman yang dimiliki individu tersebut, yang mana perkara ini mencetuskan kerisauan tentang batas maruah dan moral.

Antara yang menyuarakan kebimbangan terhadap fenomena ini termasuklah pendakwah bebas, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali sebagai PU (Pencetus Ummah) Syed.

PU Syed menyifatkan trend ini sebagai satu bentuk 'kebodohan yang dipilih', bukan gurauan seperti yang cuba digambarkan sesetengah pihak.

Ramai mula memuat naik foto mereka yang disunting dengan garis merah.

"Aib adalah sesuatu perbuatan yang kita tidak mahu diketahui oleh orang lain. Apatah lagi Islam melarang umatnya untuk mencari-cari keaiban orang lain lalu dihebahkan kepada umum. 

"Begitu juga jika kita sendiri mendedahkan keaiban diri yang boleh menjatuhkan maruah diri sendiri dan keluarga.

"Trend S-Line ini bukanlah satu trend yang boleh dibanggakan kononnya bertindak jujur atau sekadar gurauan, bahkan ianya adalah satu 'kebodohan yang dipilih'," katanya ketika dihubungi mStar.

Tambahnya lagi, umat Islam sewajarnya menjaga maruah diri dan tidak membuka aib sendiri kepada umum.

"Allah telah tutup aib kita, kenapa pula kita sendiri mendedahkannya? Jika ia benar berlaku maka segeralah bertaubat kepada Allah.

"Ini kerana pengakuan seseorang boleh disabitkan dengan hukuman zina jika dilaksanakan hukum Allah iaitu sebat 100 kali bagi penzina yang belum berkahwin atau rejam sehingga mati bagi yang telah berkahwin," jelasnya lagi.

Baginda Nabi SAW juga pernah berpesan dalam satu hadis:

Maksudnya: "Jika kamu tidak malu, lakukanlah apa yang ingin kamu lakukan."

PU Syed memberi teguran berikutan isu trend S-Line yang diikuti kebanyakan golongan muda.

Untuk makluman, trend ini diinspirasikan daripada sebuah drama Korea adaptasi Webtoon bertajuk S-Line.

Drama tersebut mengisahkan seorang pelajar sekolah menengah memiliki kebolehan melihat garisan merah di atas kepala orang lain yang menjadi simbol kepada sejarah hubungan seksual individu tersebut.

Walaupun asalnya sekadar elemen fiksyen dalam siri drama, S-Line akhirnya 'dihidupkan' dalam dunia sebenar apabila ramai mula menyunting gambar sendiri dengan garisan merah di kepala sama ada sekadar suka-suka (gurauan) atau sebagai simbol kebanggaan.

Namun, apabila perihal hubungan seksual yang sepatutnya bersifat peribadi dijadikan tontonan umum, ia sudah tentu menimbulkan keresahan banyak pihak.

Antara yang turut bersuara mengenai trend ini ialah akaun Instagram balikpapances, menyatakan peringatan bahawa trend ini boleh membawa kesan negatif secara halus.

"Walaupun sesetengah netizen anggap (trend) sebagai gurauan, ramai yang mengecam trend ini kerana dianggap membuka aib dan berpotensi menormalisasikan perilaku zina dalam kalangan orang muda.

"Fenomena ini menimbulkan keprihatinan akan arah content (kandungan) viral yang semakin menjauh dari nilai moral dan etika sosial," tulisnya di ruangan kapsyen.

Artikel Lain