ADA dakwaan pakaian atau harta yang tidak digunakan selama 40 hari akan dihisab (dihitung) di akhirat.
Namun menurut penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI), kenyataan tersebut tidak disokong oleh mana-mana dalil sahih.
Menerusi satu ceramahnya, Ustaz Azhar menjelaskan bahawa terdapat banyak kekeliruan yang disebarkan di platform seperti Facebook mengenai konsep hisab terhadap barangan yang tidak digunakan.
"Status (hantaran di Facebook) itu salah. Yang betulnya, guna atau tidak semua akan dihisab. Allah tanya (persoalkan) belaka, tentang harta yang kita dapat dan kumpul di dunia ini..
"Di mana kamu dapatkan? Macam mana cara (sumber) kita beli? Duit halal atau tidak? Anda pakai hari-hari... akan dihisab," katanya.
UAI turut menegaskan bahawa tidak ada satu pun dalil dalam al-Quran atau hadis yang menyebut tentang hisab ke atas pakaian yang tak dipakai selama beberapa tempoh, termasuk 40 hari.
Apa yang lebih penting, katanya adalah mengelakkan pembaziran kerana amalan membazir ini bertentangan dengan ajaran Islam.
Tambah UAI lagi, dalam Islam tidak dianjurkan untuk membazir atau menyimpan barang tanpa manfaat.
Namun begitu, itu bukan bermakna pemilik akan disoal hanya kerana menyimpannya tanpa digunakan dalam tempoh tertentu.