suria

[V] Suami tak senang isteri kerja cikgu berdua-duaan dengan murid lelaki dalam kereta, punca kerap bertengkar

Guru bertanggung jawab menjaga kebajikan pelajar ketika di sekolah. -Gambar hiasan AI

SEORANG suami meluahkan rasa bimbang tentang tugas dan tanggungjawab tambahan yang dipikul isterinya yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah.

Menerusi luahan kepada pendakwah bebas, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau PU Syed, isteri pengadu kerap ditugaskan membawa murid lelakinya untuk menyertai aktiviti sukan atau olahraga di luar sekolah.

Apa yang tidak sedap dipandang ialah ada kalanya isteri pengadu terpaksa berdua-duaan dengan murid remaja lelaki di dalam kereta sepanjang perjalanan.

Lebih membimbangkan, murid yang dibawa itu hanya memakai pakaian sukan yang tidak menutup aurat, seperti seluar pendek. 

Situasi ini sering menjadi punca pertelingkahan antara pasangan suami isteri itu setiap kali tiba musim sukan.

Justeru menerusi perkongsian di TikTok [Tonton sini]PU Syed berkata perbuatan berdua-duaan antara bukan mahram tetap tidak dibenarkan dalam Islam, apatah lagi jika membabitkan remaja yang sudah mencapai usia baligh.

PU Syed memberi ulasan mengenai situasi itu berdasarkan hukum syarak.

Menurut PU Syed lagi, walaupun ada yang menganggap perkara seperti ini biasa dalam institusi pendidikan, namun ia tetap perlu diteliti daripada sudut syarak.

"Ada sesetengah memandang perkara ini biasa saja. Cikgu bawa anak murid, apa masalahnya... bukan nak buat apa pun.

“Isu ini bukan soal tak buat apa. Kalau pelajar yang dibawa itu ramai dan guru seorang, kita boleh fikir tak akan mereka nak lakukan maksiat dalam keadaan macam tu.

"Namun sekiranya guru seorang, murid pun hanya seorang, maka ia akan menimbulkan fitnah. Kita sepatutnya mengelakkan fitnah. Fitnah ini benda yang 'tidur' jadi jangan kita bangkitkan perkara itu," katanya.

Malah katanya, terdapat kes-kes yang menjadi bukti apabila hubungan tidak wajar tercetus antara guru dan murid sehingga menjerumus kepada perbuatan yang ditegah agama.

Bagi mengelakkan perkara ini daripada terus berlaku, PU Syed mencadangkan agar Kementerian Pendidikan mewujudkan garis panduan khusus melibatkan jantina.

PU Syed turut menegaskan bahawa walaupun isu ini nampak remeh, tetapi usaha mencegah fitnah merupakan satu kewajipan yang perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak terutama kementerian bertanggungjawab.

Artikel Lain