PERSOALAN mengenai kewujudan makhluk halus seperti pontianak dan pocong sering menjadi perhatian dengan yang terbaru entiti berambut panjang berpakaian putih didakwa dirakam di sebuah kompleks kerajaan di Putrajaya.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) memaklumkan bahawa umat Islam wajib beriman dengan perkara ghaib, termasuk kewujudan jin dan syaitan yang disebut jelas dalam al-Quran.
Katanya, walaupun manusia tidak dapat melihat dengan mata kasar ia bukan bermakna syaitan dan jin tidak wujud.
Ia dijelaskan menerusi firman Allah SWT di dalam Surah Al-‘Araf ayat ke-27: Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka.
"Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, gambaran-gambaran hantu yang sering digambarkan khususnya oleh masyarakat kita melalui filem mahupun drama seperti pontianak, pocong dan lain-lain adalah sesuatu yang tidak wujud.
"Ianya tidak lain tidak bukan merupakan satu perkara yang berkaitan dengan jin dan syaitan.
"Mereka diberikan kelebihan oleh Allah untuk berubah-ubah bentuk dan menyerupakan diri dengan bentuk-bentuk tertentu untuk menakutkan manusia," katanya.
Kisah hantu pocong dan pontianak popular dalam kalangan masyarakat Malaysia. -Gambar hiasan
PMWP memaklumkan Sheikh Muhammad Al-Syibli menyebut bahawa tidak syak lagi bahawa jin dan syaitan mampu untuk berubah-ubah sama ada bentuk manusia atau haiwan.
"Walaupun syaitan dan jin boleh berubah bentuk atau merupakan diri mereka dengan sesuatu bentuk yang asing, akan tetapi satu perkara yang perlu diingat bahawa penyerupaan tersebut tidak mampu langsung untuk memberikan mudarat kepada kita.
"Mudarat atau manfaat kesemuanya datang daripada Allah SWT. Jin atau syaitan yang menjadi 'hantu' tidak akan sesekali mampu memberi mudarat apatah lagi mencederakan atau membunuh manusia," katanya.
Secara kesimpulannya, PMWP menjelaskan hantu-hantu yang digambarkan oleh masyarakat seperti pontianak, langsuir, pocong dan lain-lain pada hakikatnya adalah penyerupaan yang dilakukan oleh jin dan syaitan untuk menakut-nakutkan manusia.
"Ia bukannya berasal daripada roh orang mati seperti yang dipercayai oleh sebahagian masyarakat kita. Kita tidak dibenarkan untuk menokok tambah atau berlebihan dalam perkara yang melibatkan alam ghaib.
"Berhentilah mempercayai khurafat atau tahyul yang sering berlegar di dalam masyarakat. Semoga Allah memelihara akidah kita daripada dicemari syirik dan khurafat," katanya.