RUQYAH yang dibuat dalam siaran langsung TikTok kerap menimbulkan persoalan sama ada ia mampu memberi kesan atau sebaliknya kerana disampaikan secara maya.
Pakar motivasi yang juga perawat Islam, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah menegaskan, keberkesanan doa dan ruqyah tidak bergantung kepada medium seperti telefon atau secara 'online' misalnya TikTok, sebaliknya amat berkait rapat dengan niat dan keikhlasan seseorang.
“Kalau Allah kata, kamu mendoakan orang di TikTok live, meruqyahkan orang secara TikTok live, ada orang yang berkenaan angkat tangan dan berdoa, boleh tak? Boleh.
"Dengan izin Allah ia tidak mustahil (berkesan)," katanya menerusi perkongsian di TikTok [Tonton Video].
Beliau bagaimanapun turut memberi peringatan bahawa terdapat individu yang mengambil kesempatan dengan meminta penonton menghantar hadiah maya (gift) sebagai syarat sebelum doa dibacakan.
Ruqyah adalah doa atau bacaan tertentu bertujuan memohon perlindungan daripada Allah. -Gambar hiasan
"Kalau nak berkesan ataupun makbul doa ruqyah yang saya bacakan kat TikTok live ni, hantar gift dulu… topi dengan misai ke, atau harimau.
"Itu dikhuatiri tipu, sebab kalau kita mendoakan atau ruqyah perlu secara ikhlas,” katanya, merujuk kepada 'syarat' ditetapkan perawat yang melakukan siaran langsung di TikTok.
Menceritakan pengalaman peribadinya sejak 1980-an, Mohd Fadzilah berkata beliau pernah merawat ahli keluarga yang jauh hanya melalui doa dan bacaan ruqyah melalui panggilan telefon.
“Bila anak saudara yang duduk jauh ada demam atau gangguan, saya ruqyahkan atau doakan online.
"Saya minta dia sediakan air, kemudian saya hembus melalui telefon. Lepas tu bagi minum kepada anak yang sakit. Dengan izin Allah, boleh (berkesan),” jelasnya.
Baginya, doa atau ruqyah hanyalah ikhtiar dan bukan kuasa penyembuh itu sendiri.
“Bukan doa yang menyembuhkan, bukan ruqyah yang menyembuhkan tetapi Allah yang menyembuhkan,” katanya.