HANTARAN seorang ibu di media sosial yang meminta pandangan tentang cara untuk menghentikan penyusuan badan (wean off) kepada anak yang sudah berusia lima tahun, mengundang pelbagai reaksi netizen.
Menurut wanita itu, anaknya juga menyusu secara terus (direct breastfeeding).
Mengakui janggal dengan situasi itu, seorang pengguna media sosial berkongsi hantaran tersebut di laman Thread.
Pada masa sama dia turut mengasihani ibu terbabit yang menjadi mangsa brainwash netizen.
"Tak boleh brain baca kat Facebook, anak lima tahun masih direct BF, mak dia minta cara nak wean off.
"Kemudian masing-masing komen, mak yang nak kena brainwash," tulisnya.
Isu penyusuan badan melepasi usia dua tahun sering menjadi topik hangat kerana ada yang berpegang pada panduan kesihatan.
Susu badan diberikan kepada kanak-kanak sehingga usia mencecah dua tahun. -Gambar hiasan
Manakala segelintir ibu pula memilih untuk meneruskannya atas faktor keselesaan dan ikatan emosi dengan anak.
Menjelas mengenai situasi yang berlaku, laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkongsi pandangan tentang hukum menyusukan anak melebihi usia dua tahun.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, 2:233 yang bermaksud: "Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu".
Manakala Firman Allah Taala dalam Surah al-Talaq, 65:6 pula menyatakan: "Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu.
"Dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu).
"Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Orang lelaki tak boleh berlengeng luar rumah... Rupanya boleh jatuh dosa jika sengaja naikkan syahwat wanita!
"Dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya".
Ayat di atas merupakan dalil bahawa penyusuan anak sehingga dua tahun genap adalah hak bagi ibu dan bukan kewajipannya.
Wajib bagi si bapa untuk memberikan upah kepada isterinya, atau bekas isterinya yang melahirkan anaknya, bagi penyusuan tersebut jika dia meminta.
Namun wajib ke atas ibu untuk menyusukan anaknya dengan al-liba’, yakni susu yang turun pada awal-awal kelahiran (kolostrum).
Ini kerana anak itu kebiasaannya tidak hidup tanpanya, dan bahan lain tidak mampu menggantikannya.
Bahan lain juga tidak menguatkan anak dan memberikan kekuatan pada perkembangan bayi.
Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/290) oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili.
Kanak-kanak perlu diberikan makanan bergizi untuk membantu tumbesaran. -Gambar hiasan
Berkata Imam al-Qurtubi Rahimahullah: "Dan penambahan atas kadar dua tahun atau berkurangnya adalah dibolehkan dengan syarat tanpa kemudaratan kepada bayi dan berlaku dengan keredaan kedua ibu bapa." Rujuk Tafsir al-Qurtubi (3/162)
Manakala menurut Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah Rahimahullah: "Dan harus bagi ibu untuk meneruskan penyusuan selepas dua tahun sehingga separuh tahun ketiga atau lebih daripada itu." Rujuk Tuhfah al-Maudud (hal. 235)
Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili Rahimahulah menyebut dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (10/7288): "Jika berterusan penyusuan selepas dua tahun kerana lemahnya bayi maka tiada halangan untuk itu kerana keperluan.
"Akan tetapi tidak sabit lagi hukum mahram kerana penyusuan atau tidak boleh lagi bagi ibunya yang ditalak meminta upah."
Justeru kami berpendapat bahawa harus hukumnya bagi ibu bapa untuk meneruskan penyusuan badan kepada kanak-kanak yang berumur lebih dua tahun dengan syarat, ia tidak memudaratkan anak tersebut.
Penyusuan berkenaan tidak mengkhususkan dengan susu badan sahaja sebaliknya ditambah makanan yang memiliki gizi seimbang untuk tumbesaran yang sihat.
Selain itu, ia dilakukan atas hajat keperluan.
Walau bagaimanapun, sebaiknya dirujuk kepada pakar pediatrik untuk nasihat mereka tentang kesan kesihatan akibat penyusuan selepas dua tahun.