SEORANG wanita terkedu apabila diceraikan dengan talak tiga oleh suaminya selepas lelaki itu bangun daripada tidur.
Kisah itu dikongsikan semula oleh seorang peguam syarie di Thread sebagai pengajaran kepada masyarakat bahawa lafaz talak bukanlah perkara yang boleh dibuat main.
Menurut Muhd Fadzil, insiden itu berlaku selepas suami pengadu yang baru pulang bekerja tertidur seketika pada waktu pagi.
Tidak lama kemudian, dia dikejutkan oleh isteri disebabkan anak kecil mereka meragam.
"Suatu hari suami balik kerja macam biasa, dapat tidur kejap pagi itu tapi dikejutkan oleh isteri kerana anak meragam.
"Suami yang tak larat, kembali sambung tidur dan isterinya mengamuk, cakap suami tak mahu tolong.
Seorang lelaki perlu memikul tanggungjawab besar selepas kahwin. -Gambar hiasan
"Tengah marah-marah tu, suaminya bangun dan terus lafaz... aku cerai kau talak tiga. Suasana jadi senyap dan suami sambung tidur," kongsinya mengimbau situasi dialami pengadu.
Paling mengejutkan apabila suami yang bangun pada waktu tengah hari terus membeli makanan seperti biasa dan melayan anak yang meragam seolah-olah tiada apa berlaku.
Muhd Fadzil berkata, pengadu yang masih trauma memilih untuk mendiamkan diri meskipun berasa pelik melihat tingkah laku suaminya.
"Esoknya, pengadu bertanya pada suami sama ada betulkah dia diceraikan talak tiga. Namun suaminya mengajukan soalan 'bila'.
"Selepas kes dibawa ke mahkamah untuk pengesahan lafaz cerai, hakim meminta suami untuk bersumpah selepas mengambil kira situasi yang berlaku," jelasnya.
Ia berikutan, suami pengadu mengakui dia tidak melafazkan talak tiga dalam keadaan waras kerana sedang tidur.
Susulan itu, mahkamah membuat keputusan talak tersebut adalah lagha (sia-sia) jika wujud dan tidak memberi kesan kepada pernikahan.
Setiap individu mengimpikan kehidupan yang harmoni bersama keluarganya. -Gambar hiasan
Dalam pada itu, berdasarkan perkongsian berkaitan di laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pada asalnya, lafaz yang jelas itu menjatuhkan talak, sekalipun tanpa niat.
Ini termasuklah menyebut perkataan cerai. Manakala lafaz talak yang kinayah (tidak jelas, kiasan), tidak menjatuhkan talak melainkan jika disertakan niat ketika ucapan itu disebut.
Ia berdasarkan sebuah hadis hukum yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: tiga perkara yang dilakukan secara bersungguh menjadi sah, dan secara gurauan juga akan menjadi sah; nikah, talak dan rujuk. Riwayat Abu Daud (2194). Syeikh Syuaib berkata hadis ini hasan li ghairih.
Namun begitu ulama menjelaskan terdapat enam keadaan suami yang melafazkan talak secara sarih tidak menjatuhkan talak iaitu orang yang tidur, orang yang gila, orang yang sabq al-lisan (terlepas cakap), orang yang menyeru; yakni jika seseorang itu memiliki isteri yang bernama 'Taliq' yang bermaksud orang yang diceraikan.
Selain itu, penggunaan lafaz yang tidak difahami serta dipaksa dan mabuk atas sebab uzur.
Pada menghuraikan keadaan yang ketiga, kami memetik kenyataan daripada kitab al-Muʿtamad fi al-Fqh al-Syafie (4/164) oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili:
"Jika seseorang lelaki terlepas cakap melafazkan talak tanpa berniatkan makna bagi huruf-huruf talak, maka lagha, tidak jatuh talak.
"Begitu juga jika seseorang melafaz talak kerana menceritakan kisah orang lain, atau seorang ahli fiqh yang berulang-kali menyebut talak dalam pengajaran dan contoh yang diberi, maka lagha juga, kerana tiada niat."