suria

Bapa lepas tanggungjawab jaga anak gadis, mengaku benci zuriat perempuan - "Ayah cuba sayang tapi tak boleh"

Anak perempuan perlu dilayan adil sebagaimana anak lelaki. -Gambar hiasan

TULAR hantaran seorang gadis yang meluahkan rasa kecewa apabila dirinya tidak disayangi oleh bapa kandung sendiri.

Menurutnya, dia 'dibuang' dengan alasan anak perempuan tidak boleh mengembangkan keturunan.

"Punca utama kenapa diaorang tak suka aku sebab anak perempuan tak boleh bawa keturunan," luahnya sayu sambil berkongsikan tangkap layar mesej WhatsApp daripada bapanya.

Lebih menyedihkan apabila bapanya dilihat berterus terang dengan mengakui perkara tersebut menerusi mesej perbualan yang dihantar melalui WhatsApp.

"Adik (panggilan anak) dah besarkan, dah pandai jaga diri sendiri, jadinya adik bukan bawah tanggungjawab ma ayah lagi.

"Adik kena usaha sendiri untuk semua benda, pandai-pandai adik okay.

"Ayah sebenarnya memang tak nak anak perempuan tapi ayah tak boleh nak tolak takdir atau rezeki.

"Ayah cuba terima adik, tapi tak boleh, ayah cuba sayang adik tapi tak boleh," demikian kata-kata bapanya seperti yang tertera dalam tangkap layar yang dikongsikan.

Antara mesej yang dihantar ayahnya.

Antara mesej yang dihantar bapanya.

Lebih menyedihkan apabila bapanya secara lantang membandingkan kasih sayang yang diberikan kepada dirinya dan anak lelaki.

"Ayah tak pernah ada rasa sayang pada adik macam mana ayah sayang abang-abang kamu, beza sangat.

"Kalau boleh memang tak mahu anak perempuan, ayah kalau boleh tak nak mengaku pun adik anak ayah, perempuan tak boleh mengembangkan keturunan," tambah bapanya lagi.

Malah dalam hantaran terbaharu, lelaki itu memintanya supaya tidak memanggilnya dengan panggilan ayah.

Hantaran yang dibuatnya itu mengundang pelbagai reaksi warga maya, ramai yang meluahkan rasa sedih dan pilu dengan situasi dialami gadis ini.

Dalam pada itu, isu tentang kedudukan anak perempuan dalam keluarga pernah diulas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di laman sesawang https://zulkiflialbakri.com/.

Beliau dalam penjelasannya memetik kata-kata Syeikh al-Maraghi bahawa, Allah SWT mampu untuk mengurniakan anak lelaki dan perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan tidak menganugerahkan keturunan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 13/6174)

Keluarga bahagia adalah impian setiap individu. -Gambar hiasan

Keluarga bahagia adalah impian setiap individu. -Gambar hiasan

Islam turut memuliakan anak perempuan dan tidak pernah timbul dalam ajaran Islam bahawa kaum lelaki adalah lebih istimewa berbanding kaum wanita. 

Bagaimanapun Islam lebih memberi peranan dan tanggungjawab kepada kaum lelaki disebabkan keupayaan kaum lelaki terutamanya dalam hal jihad dan kepimpinan. 

Namun, berbeza pula halnya dengan masyarakat Arab Jahiliah yang amat membenci anak perempuan. 

Kebodohan mereka amat nyata sekali apabila menolak ketentuan zuriat, dan rela mencipta sebuah kefahaman dan tuduhan bahawa Allah memiliki anak perempuan. 

Bahkan sebahagian mereka sanggup menguburkan anak perempuan hidup-hidup seperti yang dilakukan kabilah Mudhar, Khuza‘ah dan Kinanah. 

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita kena ‘judge’ sesama kaum ibu gara-gara menyusu anak sampai usia 5 tahun

ARTIKEL BERKAITAN: Suami bangun tidur terus lafaz cerai talak tiga! Isteri tengah berleter terkedu nasib berubah sekelip mata

Menurut Qatadah, kabilah Tamim amat takut memiliki anak perempuan kerana khuatir menjadi penyebab kepada kemiskinan dan kehinaan dalam kehidupan mereka.

Lalu agama Islam datang membela dan mewajibkan manusia berlaku ihsan terhadap anak perempuan. 

Sebagai contoh, ibu bapa yang memelihara anak perempuan dengan baik akan beroleh jaminan keselamatan oleh Rasulullah SAW. 

Daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa memelihara dua anak perempuan yang kecil sehingga keduanya baligh, kelak pada hari kiamat dia dan aku adalah seperti ini. Baginda SAW mengisyaratkan dengan merapatkan dua jari Baginda." Riwayat Muslim (149)

Begitu juga, terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang diuji dengan anak-anak perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka anak-anak perempuan itu akan menjadi perisai baginya daripada api neraka." Riwayat Muslim (147)

Sesungguhnya Islam adalah agama yang memuliakan anak-anak perempuan, bahkan Islam juga memuliakan orang-orang yang memuliakan mereka dengan ganjaran yang besar di akhirat kelak. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/39-40)

Seorang ayah mempunyai tanggungjawab besar dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. -Gambar hiasan

Seorang bapa mempunyai tanggungjawab besar dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. -Gambar hiasan

Dalam hadis di atas, dijelaskan mengenai beberapa syarat bagi orang yang menginginkan masuk ke dalam syurga dengan memperlakukan anak perempuannya secara baik.

Tiga syarat tersebut ialah menjaga, tidak menyakiti seperti kelakuan orang-orang jahiliyah dulu dan memuliakan anak perempuan tanpa memperlakukan mereka dengan perendahan dan penghinaan.

Selain itu, tidak menjadikan anak yang lelaki lebih diutamakan dibandingkan dengan anak perempuan, sebaliknya bergaul dengan mereka secara baik tanpa membeza-bezakan antara satu sama lainnya. (Lihat Ziyadah al-Hasanah fi Tarbiyah al-Banat, 1/13)

Mendidik anak-anak perempuan juga dapat menghalangi seseorang daripada seksa neraka.

Hal ini sebagaimana riwayat daripada ‘Uqbah bin Nafi’, Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa memiliki tiga anak perempuan, dia sabar (dalam mendidiknya), dia memberinya makan, memberinya minum, memberinya sandang daripada apa yang didapatkannya.

"Nescaya mereka anak-anak perempuannya tersebut dapat menjadi penghalang yang akan menghalanginya daripada seksa neraka kelak pada hari kiamat."

Riwayat Ibn Majah (3669) dan Ahmad (17403). Hadith ini dinilai sahih sebagaimana dalam Sahih Ibn Majah (2974)

Artikel Lain

Keanu Reeves dah kahwin!