suria

Menyegarkan, mampu hilangkan dahaga tapi ada alkohol... Ini hukum minum air tepache

Umat Islam dianjurkan untuk menjaga makanan dan minuman. -Gambar hiasan

PERKEMBANGAN bidang kulinari dan masakan membuatkan pelbagai makanan mahupun minuman dari seluruh pelosok dunia dapat dirasai di mana-mana sahaja.

Terbaharu adalah 'tepache' iaitu minuman tradisional Mexico yang diperbuat daripada proses pemeraman kulit nanas bersama gula perang dan rempah seperti kayu manis.

'Tepache' diperam secara semula jadi dan kebiasaannya dalam tempoh tiga hari.

Hasil peraman tersebut menyebabkan ia mempunyai kandungan alkohol yang rendah.

Umat Islam sedia maklum bahawa minuman beralkohol adalah diharamkan kerana bersifat memabukkan.

Bagi menjelaskan dengan lebih tepat, pengasas al-Inarah yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri berkata, secara umumnya, hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi' Syarh Zad al-Mustaqni', hlm. 685). 

Tepache adalah air minuman tradisional masyarakat Mexico. -Gambar hiasan

Tepache adalah air minuman tradisional masyarakat Mexico. -Gambar hiasan

Walau bagaimanapun, terdapat satu ciri atau kaedah penting dalam menentukan hukum makanan dan minuman yang mengandungi alkohol sama ada ia terhasil secara semula jadi ataupun alkohol sintetik yang dimasukkan sebagai bahan perisa, bahan penstabil dan seumpamanya iaitu unsur memabukkan.

Apa-apa makanan dan minuman yang memabukkan adalah haram untuk dimakan dan diminum. 

Dalilnya adalah sebagaimana riwayat Ummul Mukminin, Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Semua yang memabukkan adalah haram." Riwayat Bukhari (5263) dan Muslim (2001)

Al-Hafiz Ibn Hajar al'Asqalani mengatakan, yang dimaksudkan dengan hadis ini adalah, telah menjadi ciri atau sifat minuman tersebut membuatkan orang mabuk, sama ada ketika meminumnya menyebabkan seseorang mabuk ataupun tidak.

Selain itu, al-Khattabi juga ada menyebutkan, dalam hadis ini terdapat dalil bahawa minuman yang memabukkan hukumnya adalah haram, apa pun jenisnya sama ada sedikit atau banyak, kerana lafaz umum ini dimaksudkan jenis minuman yang dapat memabukkan. 

ARTIKEL BERKAITAN: Cuba 5 formula ini untuk sembahyang lebih khusyuk... sempurna solat seseorang, baik-baiklah yang lainnya!

Hal ini sama seperti jika dia mengatakan, "Segala makanan yang mengenyangkan maka hukumnya halal," maka perkataan ini memberi petunjuk bahawa segala makanan yang untuk mengenyangkan maka hukumnya halal, meskipun pada sebahagian orang tidak dapat kenyang hanya dengan makan makanan tersebut. (Lihat Fath al-Bari, 1/381)

Namun, bukan semua makanan yang mengandungi alkohol itu adalah arak, terdapat makanan dan minuman yang apabila dimakan mengikut 'uruf setempat tidak memabukkan. 

la juga tidak najis kerana penghasilan alkohol itu bukan tujuan utama pembuatan makanan itu, sebaliknya hanya kesan sampingan yang terhasil daripadanya seperti tapai, air nira, teh kombucha dan seumpamanya. 

Pun begitu, jika memakan dan meminumnya menjadikan seseorang itu mabuk, maka tidak syak lagi ia adalah diharamkan sepertimana hukum arak.

Pelbagai khasiat terdapat dalam nanas. -Gambar hiasan

Pelbagai khasiat terdapat dalam nanas. -Gambar hiasan

Hal ini sebagaimana dinyatakan dalam Fatwa Kerajaan Negeri Brunei Darussalam Tahun 2005 (hlm. 74-75) yang menyebut: "Ini bermaksud bahawa kenajisan alkohol itu adalah bertolak dari sebab kenajisan arak yang sifatnya sebagai minuman yang memabukkan."

Maka, dapat difahami bahawa semata-mata alkohol bukanlah najis selama mana ia tidak diambil (extract) daripada arak atau mana-mana minuman vano memabukkan, kerana kuih tapai yang biasa dimakan pun menurut pakar ada mengandungi alkohol, namun ia tidak diharamkan, kerana tidak memabukkan.

Tambahan lagi, menurut Dr Basri bin Ibrahim ketika beliau membahaskan berkenaan penggunaan alkohol ada menyatakan, alkohol antara bahan yang digunakan di dalam memproses kebanyakan makanan dan minuman halal. 

Cuma kandungannya sahaja yang kecil iaitu sekitar lima peratus dan kadang-kadang lebih dari kuantiti ini dan ia berlaku secara semulajadi.

Misalnya seluruh jenis perahan buah-buahan, susu pekat (Zabadi) dan bahan-bahan pengawet. 

Solat yang dilaksanakan dengan khusyuk dapat mencegah pelakunya dari perbuatan keji dan buruk.

Solat yang dilaksanakan dengan khusyuk dapat mencegah pelakunya dari perbuatan keji dan buruk.

Tidak ada satupun daripada makanan dan lain-lain yang kita sebutkan di sini dari segi saintifiknya boleh diletakkan di bawah kategori benda-benda yang memabukkan atau minuman beralkohol. 

Tidak ada seorang pun yang mengatakan, ia merupakan bahan-bahan yang mengandungi alkohol. 

Di kalangan para ulama pula, tidak ada perselisihan di kalangan mereka dari segi kebolehan menggunakan bahan-bahan ini.

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa minuman tepache adalah diharuskan dengan syarat ia tidak memabukkan dan tidak mengandungi bahan bernajis seperti ditambah sedikit bir bagi meningkatkan kandungan alkohol. 

Jika ia memabukkan atau mengandungi bahan bernajis seperti bir itu, maka tidak syak lagi, ia adalah diharamkan.

Tambahan lagi, minuman Tepache ini bukanlah arak mahupun bir tetapi ia adalah minuman dalam masyarakat sesetengah tempat di Mexico seperti mana air nira, tapai dan seumpamanya dalam kalangan masyarakat kita.

Artikel Lain

Keanu Reeves dah kahwin!