suria

Ubah menu sarapan, elak 2 makanan popular ini jika mahu anak kekal sihat 20 tahun akan datang

Setiap ibu bapa pasti mahu memberikan yang terbaik untuk anak mereka. -Gambar hiasan

SARAPAN pagi merupakan waktu makan paling penting setiap hari, terutamanya bagi kanak-kanak yang sedang membesar.

Namun, trend dalam kalangan ibu bapa masa kini adalah menyediakan sarapan yang mudah dan cepat seperti roti, bijirin (cereal), air kotak mahupun makanan diproses.

Walaupun kelihatan praktikal, pilihan ini sebenarnya boleh membawa risiko kepada kesihatan anak-anak dalam jangka masa panjang.

ARTIKEL BERKAITAN:Sedang diet untuk kurus? Elak makan 3 buah warna kuning ini, waktu malam paling dilarang

Menerusi satu perkongsian di Facebook, seorang ahli optometri yang juga mempunyai pengalaman dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak, Masdi Hazli mendedahkan, pengambilan makanan seumpama ini dikhuatiri mendatangkan penyakit kronik apabila anak-anak menginjak dewasa kelak.

"Apa yang anak kita makan hari-hari sebenarnya sedang bentuk cara badan dia urus tenaga dan daya tahan melawan penyakit untuk seumur hidup.

"Contoh biasa pagi-pagi, roti putih bersama marjerin, bijirin warna-warni bersama susu, air kotak perisa buah, nugget.

"Semua ni nampak biasa tapi bila digabung, ia tinggi karbo process, tinggi gula tersembunyi, hampir tiada protein dan lemak sihat," tulisnya.

Homemade granola in open glass jar and milk or yogurton rustic wooden backgroundBijirin dan susu sering menjadi pilihan ketika bersarapan kerana mudah dan cepat. -Gambar hiasan

Malah, Masdi turut berkongsi hasil kajian yang dilakukan oleh tiga penyelidik mengenai kesan jangka panjang pengambilan makanan tersebut.

1. Kajian dari The Journal of Clinical Endocrinology & Metabolism menunjukkan bahawa pemakanan tinggi karbohidrat ringkas di usia kanak-kanak boleh menjejaskan sensitiviti insulin dan keupayaan sel beta pankreas untuk berkembang secara optimum.

2. Kajian Nutrition Reviews pula menekankan bahawa kekurangan protein haiwan dalam diet awal kanak-kanak dikaitkan dengan risiko sindrom metabolik apabila dewasa, termasuk rintangan insulin, obesiti dan diabetes jenis 2.

3. Kajian jangka panjang oleh Harvard T.H. Chan School of Public Health turut menyebut bahawa pendedahan awal kepada ultra-processed food menyumbang kepada risiko tinggi penyakit kronik, walaupun BMI anak kelihatan normal ketika kecil.

kids help their muslim parent preparing for break fasting dinnerMemantau pemakanan anak mampu mengelakkan risiko penyakit. -Gambar hiasan

Justeru ujarnya, ibu bapa disarankan untuk mengubah dan mencorak pemakanan yang lebih sihat buat anak mereka supaya dapat mengelakkan risiko penyakit pada masa depan.

"Apa kita boleh mula dari rumah, biasakan air kosong, bukan air manis. Masukkan telur, ikan, ayam dalam diet walaupun sikit. Buat sup simple untuk sarapan, kurangkan cereal, kuih muih dan biskut.

"Kita tak boleh ubah masa lalu. Tapi kita boleh ubah cara kita suap anak hari ini.

"Sayang anak bukan sekadar beri hadiah dan pelukan. Sayang anak adalah dengan suap makanan yang bantu dia sihat 20 hingga 30 tahun dari sekarang. Bebas penyakit metabolik," tulisnya lagi.

Artikel Lain