MENU berasaskan organ dalaman haiwan seperti perut, lidah dan limpa mempunyai peminatnya yang tersendiri.
Malah, ia boleh diolah menjadi juadah menyelerakan seperti perut cicah air asam, sup lidah, limpa masak berlada dan macam-macam lagi.
Namun, pasti ada yang tertanya-tanya sekiranya organ dalaman haiwan selamat untuk dimakan.
Menurut portal kesihatan Hello Doktor, berikut merupakan beberapa risiko apabila kita memakan organ dalaman.
1. Masalah bakteria jika usus haiwan tidak dibersihkan dengan betul sebelum dimasak dan dimakan.
2. Daging otak boleh menyebarkan penyakit Lembu Gila walaupun ia jarang berlaku.
3. Orang yang mempunyai gout harus mengelakkan makan organ dalaman kerana ia tinggi dengan kandungan purin, yang memburukkan keadaaan gout.
4. Terdapat kebimbangan haiwan yang terdedah kepada toksin dan racun perosak akan mempunyai kandungan toksik dalam organ mereka.
Perut lembu cicah air asam menjadi menu kegemaran ramai. -Gambar hiasan
Di sebalik kebimbangan ini, terdapat beberapa organ dalaman yang biasa dimakan dan diketahui mempunyai khasiatnya yang tersendiri.
1. Hati
Hati lembu serta ayam mempunyai nutrien paling tinggi dan banyak mengandungi vitamin A. Ia juga mengandungi asid folik, zat besi, zat kromium, zat tembaga, dan zink .
Kesemua ini berkhasiat untuk kesihatan jantung, malah boleh meningkatkan kadar hemoglobin dalam darah kita.
2. Otak
Ia mengandungi asid lemak omega tiga dan nutrien seperti phosphatidylcholine dan phosphatidylserine, yang berkhasiat untuk sistem saraf.
Antioksidan yang diperoleh daripada pemakanan daging otak juga membantu melindungi otak manusia dan saraf tunjang dari kerosakan.
3. Lidah
Daging lidah kaya dengan kalori dan asid lemak, serta zink, besi, kolin dan vitamin B12. Antara lain.
Ia juga dianggap sangat bermanfaat bagi mereka yang baru sembuh daripada penyakit atau untuk wanita yang mengandung.
4. Usus dan perut
Usus dan perut kaya dengan selenium, vitamin B12 dan zink. Walaupun mengambil masa lama untuk dimasak, perut rendah kalori, tinggi protein dan rendah lemak.
Selain itu, usus dan perut juga kaya dengan fosforus yang diperlukan untuk pembentukan tulang dan gigi yang sihat.
5. Limpa
Memiliki rasa seakan sama seperti hati, limpa sangat kaya dengan zat besi dan protein serta rendah lemak.