suria

Ada 4 sebab ramai suka tidur 'bungkus' satu badan, awas risiko dan bahayanya!

Tidur secara berbungkus juga boleh menyebabkan masalah jerawat dan ekzema. -Gambar hiasan

SETIAP orang mempunyai tabiat tidur yang berbeza-beza.

Ada yang suka tidur meniarap, ada pula yang hanya boleh terlena jika diapit bantal di kiri dan kanan badan.

Tidak kurang juga yang gemar tidur berbungkus seluruh badan sehingga terlihat seperti hantu pocong.

Menurut laman web Medically Speaking, terdapat beberapa sebab kenapa wujudnya individu yang suka tidur berbungkus seperti ini.

1. Selesa - Kehangatan selimut yang menutupi wajah dan seluruh badan memberi rasa selesa untuk seseorang melelapkan mata.

2. Privasi - Bagi yang tidur beramai-ramai, contohnya di asrama, mereka akan berselimut sehingga menutup muka agar untuk mengekalkan privasi.

3. Sensitif cahaya - Ada juga individu yang menutup wajah dengan selimut untuk mengelakkan cahaya lampu yang menerangi ruang tidur.

4. Hilangkan stres -  Bagi segelintir individu, mereka berasa nyaman apabila menutup wajah dan badan dengan selimut, seolah-olah bayi yang dibedung. Cara ini juga membantu mereka untuk menghilangkan stres.

Kanak-kanak tidak boleh dibiarkan tidur berbungkus sehingga selimut menutupi wajah mereka. -Gambar hiasan

Namun, ada bahaya yang menanti bagi mereka yang gemar menutup wajah ketika tidur.

1. Kurang oksigen - Menutup muka dengan selimut boleh menghadkan aliran udara segar, sekali gus mengurangkan pengambilan oksigen. 

Apabila anda menghembus nafas, karbon dioksida terperangkap di bawah selimut dan anda akan menyedutnya semula berulang kali. 

Kekurangan oksigen segar ini boleh menyebabkan sakit kepala atau migrain, kualiti tidur yang buruk dan risiko lemas terutamanya bagi bayi.

2. Perangkap haba - Badan anda mengawal suhu semasa tidur bagi memastikan rehat yang optimum. 

Menutup muka dengan selimut boleh memerangkap haba, sekali gus menyebabkan badan menjadi terlalu panas. 

Ini boleh mengakibatkan anda berpeluh pada waktu malam, kitaran tidur terganggu akibat rasa tidak selesa dan risiko keletihan haba, terutamanya di kawasan beriklim panas.

3. Masalah kulit - Apabila seluruh badan dan wajah dilitupi selimut sepanjang malam, ia boleh mengakibatkan peluh berlebihan sehingga menyumbat liang pori dan menjadi punca jerawat.

Antara lain, ia boleh menjadi punca iritasi atau ruam akibat fabrik atau haba.

Keadaan kulit seperti ekzema juga menjadi lebih teruk disebabkan kurangnya pengudaraan.

 

Artikel Lain