MELANCONG merupakan salah satu aktiviti popular setiap kali tibanya musim cuti persekolahan.
Namun, tidak semua ibu bapa memiliki kemampuan untuk membawa anak-anak melancong, apatah lagi ke luar negara.
Sebagai alternatif, ibu bapa dari keluarga yang kurang berkemampuan boleh mencuba lima aktiviti mesra bajet ini dengan anak-anak.
1. Kraf seni D.I.Y
Ibu bapa boleh mengajak anak-anak untuk menghasilkan kraf seni secara D.I.Y (do it yourself) dengan menggunakan bahan asas seperti kertas, kotak dan pewarna.
Selain itu, ibu bapa juga boleh mendapatkan bahan-bahan kraf yang dijual pada harga murah di platform dalam talian.
2. Wayang
Dengan wujudnya platform penstriman seperti Netflix, anda boleh menonton filem kegemaran tanpa perlu membayar tiket wayang.
Ibu bapa perlu memantau penggunaan gajet dalam kalangan anak-anak. -Gambar hiasan
Bayangkan, berapa wang perlu dibelanjakan untuk membeli tiket wayang bagi suami isteri serta tiga orang anak?
Untuk menjimatkan kos, ibu bapa boleh menganjurkan movie night bersama anak-anak.
Bagi menambah kemeriahan, sediakan hidangan ringkas serta minuman untuk dinikmati bersama.
3. Perkhemahan
Jika rumah anda mempunyai laman, banyak sebenarnya aktiviti outdoor yang boleh dilakukan.
Antaranya, anak-anak boleh memasang khemah dan tidur di kawasan laman rumah.
Walaupun tidak berada di tapak perkhemahan sebenar, pengalaman ini sudah tentu akan memberi memori bermakna buat mereka.
Anak orang kaya biasanya akan menghabiskan waktu cuti dengan berjalan-jalan. -Gambar hiasan
4. Eksperimen sains
Anak-anak sudah tentu malas untuk mengulangkaji pelajaran ketika cuti sekolah.
Namun, ibu bapa boleh mengajak mereka untuk melakukan aktiviti bermanfaat seperti eksperimen sains mudah yang menggunakan beberapa bahan ringkas.
Antaranya, buat eksperimen letusan gunung berapi menggunakan bahan seperti cuka dan serbuk penaik.
5. Permainan dalam talian
Anda tidak perlu risau jika tidak mempunyai permainan Monopoly secara fizikal.
Terdapat banyak aplikasi yang menawarkan permainan sama yang boleh diakses secara percuma sahaja.