RAMAI tidak puas hati apabila tiket konsert artis kegemaran 'lesap' kerana habis dijual (sold out) dalam beberapa minit selepas jualan dibuka walaupun sudah bersedia depan skrin tepat pada waktunya.
Lebih menyakitkan hati, tiket yang 'ghaib' itu tiba-tiba muncul semula di platform niaga online lain dengan harga berkali ganda mahal, dijual individu tidak bertanggungjawab.
Realitinya, inilah permainan kumpulan atau individu bergelar 'scalper' yang menjadikan tiket konsert sebagai barang dagangan untuk mengaut untung dengan cepat.
Menurut perkongsian dari Public Health Malaysia (PHM), situasi ini tidak hanya melibatkan harga tiket dijual lebih mahal tetapi turut memberi kesan terhadap kesejahteraan mental.
Perkongsian PHM di media sosial.
Secara khususnya, ia memberi kesan terhadap kumpulan peminat tegar atau mereka yang menjadikan muzik dan hiburan sebagai ruang 'healing' serta tempat melepaskan tekanan harian.
Public Health Malaysia menegaskan bahawa isu 'scalpers' boleh memberikan impak psikologi seperti:
1. Tekanan dan kekecewaan emosi apabila tidak dapat memiliki tiket yang diidamkan walaupun sudah mencuba sedaya upaya.
2. Merosakkan kesihatan mental, terutama mereka yang sangat meminati artis tertentu dan melihat konsert sebagai satu bentuk 'reward' untuk diri sendiri.
3. Menggalakkan aktiviti penipuan dan ketidakselamatan, apabila pembeli terpaksa cari tiket dari sumber tidak rasmi.
4. Memberi kesan kewangan dan tekanan hidup kerana ada yang sanggup berbelanja lebih dari kemampuan hanya untuk tidak terlepas peluang menonton konsert idaman.
Apa yang lebih membimbangkan, budaya ini secara tak langsung memusnahkan komuniti peminat yang selama ini membina hubungan sihat dan positif melalui minat yang sama.
Bila peluang untuk hadir ke konsert 'dirampas' oleh mereka yang tamak, peminat kehilangan ruang untuk bersosial, mencipta kenangan dan menjaga kesejahteraan emosi dengan cara yang sihat.