PERSELISIHAN faham dalam hubungan merupakan perkara biasa.
Namun, ada tingkah laku yang sering disalah tafsir sebagai perkara remeh, sedangkan ia memberi kesan besar kepada emosi pasangan.
Cold violence atau keganasan emosi secara senyap bukan sekadar tindakan mendiamkan diri untuk meredakan keadaan.
Perkara ini berlaku apabila seseorang memilih untuk tidak berkomunikasi dengan pasangan, dengan niat untuk menghukum secara emosi.
Peguam The Yuan Ting YT dalam satu hantaran di TikTok menjelaskan bahawa tindakan berdiam diri demi menenangkan fikiran dan mengelak daripada menyakiti pasangan adalah wajar.
Bagaimanapun, tindakan cold violence berbeza kerana ia melibatkan unsur kawalan dan manipulasi.
Seseorang yang mengamalkan cold violence sedar bahawa sikap berdiam diri boleh menyakitkan pasangan.
Tetapi individu ini tetap memilih untuk tidak bersuara, meskipun tahu tindakan itu akan membuat pasangan rasa terabai dan terluka sebagai 'hukuman'.
Pasangan yang menjadi mangsa akan berasa bingung, tidak dihargai dan hilang rasa selamat dalam hubungan.
Gangguan emosi boleh berlaku akibat cold violence. -Gambar hiasan AI
Penderaan emosi seperti ini berlaku secara senyap tanpa jeritan atau pergelutan namun, kesannya boleh membawa kepada kemurungan, tekanan mental dan hilang keyakinan diri.
"Kalau dia tahu kau jenis yang akan disakiti, sesak dan robek hati bila dia diamkan diri masa bergaduh.
"Dia tetap pilih untuk diamkan diri biarkan kau menangisi emosi sendiri guna 'silence' itu terhadap kau sehingga dia tentukan bila untuk hentikan 'silence' tersebut.
"Ini penderaan emosi terhadap kau. Anda semua akan faham bila hidup bersama nanti," jelasnya dalam video berkenaan.
Ramai tidak menyedari bahawa penderaan emosi bermula daripada tindakan pasif-agresif seperti ini.
Mangsa penderaan emosi disaran untuk mendapatkan bantuan profesional.
Kaunseling dan sokongan emosi daripada orang sekeliling boleh membantu keluar daripada kitaran hubungan yang toksik.