suria

Jantung berhenti, muka bertukar biru gara-gara belon! Wanita minta ibu bapa kekal peka, pantau anak-anak ketika bermain

Uwais dikejarkan ke hospital akibat tercekik belon.

PASANGAN suami isteri berdepan detik cemas apabila anak mereka hampir hilang nyawa gara-gara sebiji belon.

Kejadian yang tidak dapat dilupakan itu berlaku ketika sambutan hari lahir anak mereka, Uwais yang diraikan pada 20 Mei lalu.

Mereka mengundang rakan-rakan, guru lama anaknya termasuk sahabat baik dari zaman tadika ketika mereka tinggal di Bertam, Pulau Pinang.

Sebelum insiden, si ibu, Huda Zulkhairi sedang berbual dengan rakan-rakan manakala Uwais bermain kejar-kejar di dalam rumah bersama rakan baiknya. 

Menurut Huda, semua kelihatan normal sehinggalah adik iparnya menyedari sesuatu yang tidak kena dengan kelakuan Uwais.

"Ketika saya dan suami sedang asyik melayan tetamu yang hadir, anak saya sedang bermain berlari-lari dengan kawan baiknya. 

"Baru nak menjamah makanan yang ada sebab tetamu terlalu ramai sebelum itu. Sebelum kejadian, adik ipar ada maklumkan 'Uwais macam semput tu'

"Suami saya pun ambil pam gas yang memang kita dah sediakan sebab dulu Uwais selalu kena serangan asma," cerita si ibu.

Melihat keadaan Uwais yang semakin teruk, pasangan ini cuba melakukan bantuan pernafasan CPR (cardiopulmonary resuscitation) kerana menyangka anaknya tersedak makanan namun tidak menunjukkan perubahan.

Huda berkongsi kejadian ketika anaknya hampir maut ketika sambutan hari jadi.

"Tiba-tiba keadaan kembali tegang apabila adik ipar berlari bawa anak saya dekat suami saya dengan keadaan Uwais biru ketika itu. Jantung dah berhenti. Suami dan kawannya buat beberapa prosedur. 

"Namun setelah cuba CPR untuk keluarkan makanan, masih sama. Masa ni suami saya cakap 50-50 untuk bertahan sebab jantung dia dah berhenti. Muka Uwais jadi biru.

Tanpa berlengah lagi, suami terus membawa anak mereka ke hospital bersama kawannya, seorang doktor yang turut memberikan arahan sepanjang perjalanan.

"Kawan suami saya bawa kereta sangat laju ketika ini. Masa ni suami saya dah blur, nak kena buat apa. Anaknya terkulai kaku kebiruan atas riba ayahnya.

"Ayahnya terus buat CPR, untuk bagi darah mengalir juga keseluruh badan. Dengan harapan darah terus mengalir hingga ke otak," kata Huda.

Setibanya di Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah, pasukan perubatan bertindak pantas melakukan prosedur intubasi dan akhirnya menjumpai belon di dalam saluran pernafasan Uwais.

Uwais dipercayai bergurau dengan rakan baiknya dan memasukkan belon ke dalam mulut. 

Ketika Uwais berlari bersama kawan-kawan, anaknya itu tercekik belon.

Perkongsian ini ditulis dan dibuat dalam satu hantaran di TikTok sebagai satu peringatan buat semua ibu bapa.

Artikel Lain