suria

Hidap masalah jantung kritikal sejak lahir, remaja 15 tahun perlu dana RM50,000 untuk peluang kedua kehidupan

Chiet menghidap masalah jantung sejak kecil.

SEKALI pandang, pemuda berusia 15 tahun ini kelihatan sama seperti remaja lain yang berperwatakan ceria, bersemangat dan menyimpan impian besar.

Namun di sebalik senyuman manis Chiet A/L Ailai itu, tersembunyi kisah perjuangannya seumur hidup dalam melawan masalah jantung kritikal yang mengancam nyawa sejak dia dilahirkan.

Dilahirkan di pekan kecil Sik, Kedah, Chiet disahkan menghidap kecacatan jantung kongenital yang jarang berlaku iaitu Transposition of the Great Arteries (TGA).

Penyakit dihidapi ini merupakan satu keadaan serius di mana dua arteri utama yang keluar dari jantung bertukar posisi. 

Ketika berusia enam hari, dia menjalani pembedahan 'arterial switch' yang kompleks dan berisiko tinggi di Pulau Pinang. 

Pembedahan itu berjaya menyelamatkan nyawanya dan sejak itu, Chiet menjalani hidup dengan penuh semangat.

Pelajar aktif di Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Merbau, Pendang, Kedah ini meminati sukan bola sepak dan bercita-cita menjadi jurutera mekanikal. 

"Dia nak bina hidup yang lebih baik untuk kami semua. Dia harapan kami, dan kami juga harapannya,” ujar kakaknya, Junytaa.

Walaupun berdepan masalah kesihatan, Chiet kekal positif, tabah dan tidak mudah menyerah. 

Anak bongsu daripada tiga beradik ini rapat dengan abang dan kakaknya serta bapanya, Ailai A/L Eperoi yang merupakan seorang petani. 

Ibunya telah meninggal dunia lima tahun lalu, dan sejak itu keluarga ini saling bergantung antara satu sama lain untuk mendapatkan kekuatan dan sokongan.

Namun, semasa menjalani pemeriksaan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada Februari, doktor mengesahkan Chiet kini menghidap supravalvular neo-aortic stenosis.

Ia merupakan satu lagi keadaan jantung yang jarang berlaku dan mengancam nyawa, di mana terdapat penyempitan serius pada bahagian atas injap aorta.

Chiet segera dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) dan pakar mengesahkan dia perlu menjalani pembedahan segera kerana boleh membawa maut jika tidak dirawat.

Kos keseluruhan pembedahan dianggarkan sebanyak RM80,000. 

IJN telah menerima bantuan kewangan sebanyak RM30,000 daripada pertubuhan bukan keuntungan (NPO), One Hope Charity & Welfare. 

Namun baki RM50,000 masih diperlukan dan di luar kemampuan keluarganya.

Bapanya hanya memperoleh kira-kira RM600 sebulan hasil kerja kampung, manakala abang sulungnya, Somrath, 26, menjana kira-kira RM500 sebulan sebagai buruh. 

Kakaknya Junytaa, 22, pula tidak bekerja bagi menjaga Chiet dan menguruskan rumah.

"Kami cuba beri yang terbaik untuk dia. Tapi perkara ini di luar kemampuan kami. Kami mohon bantuan untuk selamatkan nyawanya," kata Junytaa. 

Walau berdepan dengan masalah kesihatan, Chiet tetap ke sekolah dan berpegang pada impiannya untuk bangkit, berjaya dan menyara keluarganya suatu hari nanti.

Kod QR untuk salurkan sumbangan bagi meringankan beban Chiet.

 

Bagi merealisasikan impian ini, Program Dana Perubatan Star Foundation kini melancarkan usaha mengumpul RM50,000 baki dana melalui sumbangan orang ramai. 

Yayasan ini menyeru masyarakat agar berganding bahu demi memberi peluang kedua kepada remaja tabah ini dan setiap ringgit yang disumbangkan amat bermakna.

Sumbangan anda mampu membiayai pembedahan yang kritikal ini sekali gus memastikan remaja ini terus hidup, membesar dan berbakti semula kepada masyarakat.

Sumbangan boleh dibuat melalui pindahan bank ke akaun Public Bank 31-9984-9230 (cek atas nama Star Foundation) kad kredit atau debit melalui laman web Star Foundation serta imbasan kod QR.

Untuk resit pengecualian cukai, penderma digalakkan melengkapkan Borang Sumbangan Program Dana Perubatan di laman web yayasan Star Foundation.

Star Foundation ialah cabang kebajikan dibawah Star Media Group. 

Sejak 2016, Program Dana Perubatan ini telah membantu individu kurang berkemampuan yang menderita penyakit kronik dengan menampung kos rawatan dan penjagaan perubatan kritikal.

Untuk maklumat lanjut atau membuat sumbangan, layari starfoundation.com.my atau emel ke starfoundation@thestar.com.my.

Artikel Lain