SEMPENA ulang tahun ke-100 Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq tampil berkongsi satu momen istimewa dan cukup mencuit hati yang pernah dilihatnya di Parlimen.
Menerusi perkongsian di media sosial, Syed Saddiq mendedahkan 'rahsia terbesar' bagaimana negarawan itu kekal sihat, bertenaga dan nampak relaks walaupun dalam situasi tegang.
"Saya rasa dah tiba masanya saya dedahkan rahsia terbesar Tun M. Rahsia macam mana Tun boleh kekal muda, sihat, dan rilaks semacam walaupun tengah berperang di Parlimen,” tulisnya.
Ternyata 'rahsia' yang didedahkan itu di luar jangkaan ramai apabila dia berkongsi foto Dr Mahathir sedang asyik menonton video berkaitan kucing.
Menurut Syed Saddiq, Dr Mahathir siap ketawa sendiri apabila menonton gelagat si bulus berlari, melompat dan bermain air.
Nampak kelakar, tapi sebenarnya ada penjelasan saintifik di sebalik tabiat ini.
Foto dikongsikan Syed Saddiq mengenai apa yang berlaku ketika sidang parlimen.
Menurut satu kajian yang dikongsikan Public Health Malaysia, menonton video kucing sebenarnya boleh memberikan manfaat besar kepada kesihatan mental seseorang.
Satu kajian telah dilakukan, diketuai Dr Jessica Gall Myrick dari Universiti Indiana melibatkan lebih 7,000 responden yang biasa menonton video kucing dari platform seperti YouTube, Facebook dan Instagram.
Antara dapatan utama daripada kajian dilakukan:
1. Majoriti melaporkan rasa lebih tenang, gembira dan bertenaga selepas menonton video kucing.
2. Emosi negatif seperti tekanan, kebimbangan dan kesedihan turut berkurangan secara ketara.
3. Menurut Dr Myrick, video kucing memberikan sejenis 'mini emotional reset', membolehkan otak untuk berehat seketika daripada rasa tertekan.
Siapa sangka, salah seorang tokoh paling berpengaruh dalam negara pun menggunakan pendekatan menonton video si bulus comel untuk kekal tenang dan fokus.