suria

[V] Budak kejung dalam kolam cetek, sesak nafas ketika main air... Ibu bapa perlu tahu apa itu 'dry drowning'!

Salah seorang kanak-kanak dikatakan lemas sebelum diselamatkan.

SEORANG wanita berkongsi video menunjukkan detik mencemaskan seorang kanak-kanak tiba-tiba sesak nafas selepas bermain air di halaman rumah.

Menerusi video yang dimuat naik oleh Aqilana Ruhaniyah, kelihatan tiga kanak-kanak sedang bermain di dalam kolam renang plastik. 

Namun, suasana bertukar panik apabila salah seorang daripada mereka secara tiba-tiba menekup muka dan tidak lama selepas itu kelihatan tidak lagi bergerak.

Dua kanak-kanak lain segera berlari mendapatkan bantuan orang dewasa selepas menyedari 'mangsa' dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Menurut Aqilana, insiden yang berlaku itu dikenali sebagai dry drowning atau tenggelam kering.

"Kadang lepas anak main air, walaupun dah keluar kolam, dia boleh tiba-tiba sesak nafas. 

"Walaupun air tak masuk paru-paru, saluran pernafasan boleh tertutup sebab refleks badan," jelasnya mengenai kejadian 'tenggelam kering'.

Tambahnya lagi, ibu bapa perlu berwaspada jika anak mengalami tanda-tanda seperti:

1. Batuk yang berpanjangan

2. Nafas berbunyi atau sukar bernafas

3. Keletihan luar biasa

4. Mengantuk yang tidak normal atau keliru

Jika ada simptom-simptom ini selepas insiden tersedak air, Aqilana menasihatkan agar segera bawa anak ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Menurut portal Texas Children, dry drowning atau secondary drowning berlaku apabila sejumlah kecil air masuk ke dalam paru-paru semasa insiden hampir lemas atau terendam dalam air.

Ia berbeza dengan lemas biasa kerana simptom boleh muncul beberapa jam selepas kejadian, antara satu hingga 24 jam.

Air yang masuk ke paru-paru boleh menyebabkan radang dan pengumpulan cecair (pulmonary edema), sekaligus mengganggu proses pernafasan dan oksigen dalam darah. 

Jika tidak dirawat segera, ia boleh menyebabkan kegagalan pernafasan.

Artikel Lain